Fasha pertahan Firdaus, tidak wajar persoal pemilihan hero

Fasha pertahan Firdaus, tidak wajar persoal pemilihan hero

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Fasha Sandha, 42, menyifatkan tidak wajar tindakan segelintir pihak apabila mempersoalkan pemilihan pelakon baharu, Firdaus Karim sebagai hero dalam drama Doa Yang Terlindung.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, sebagai barisan pelakon utama berganding dengan Firdaus dalam drama bersiri di slot Akasia TV3 itu, dia percaya pelakon itu mempunyai bakat.

“Selama berlakon sejak dari dulu, saya tidak pentingkan nak tahu siapa hero sebab saya percaya pengarah, penerbit dan juga stesen televisyen akan memilih siapa hero akan diganding dengan kita.

“Sebelum-sebelum ini pun ketika saya dijadikan heroin dalam drama Dendam Seorang Isteri bersama Wan Raja, begitu juga Lara Aishah dengan Nazim Othman, saya tak tahu pun siapa hero masa itu.

“Bila datang set (penggambaran), itu adalah heronya… saya berubah. Jadi untuk sekarang yang menjadi viral (tular) mengenai hero saya, Firdaus yang pada saya rasa tidak wajarlah untuk kita persoal pemilihan dia sebagai hero.

“Sebab saya percaya dia (Firdaus) berbakat dan dia ada effort (kesungguhan) untuk melakukan yang terbaik. Malah, pada saya dia menepati skrip (drama) berkenaan. Mungkin sekarang, ada juga yang masih belum menonton cerita itu, baru empat episod sekali gus belum betul-betul memahami,” katanya.

Menurutnya, dia melihat kehadiran Firdaus dalam industri masih memerlukan masa untuk diterima penonton sebagai hero kerana setiap pelakon sama ada lelaki dan wanita mempunyai bakat tersendiri.

“Mengenai pakej iaitu cantik atau kacak seseorang pelakon, bagi saya itu kelebihan tersendiri dan bergantung juga kepada orang untuk melihat seorang pelakon itu kacak dan cantik sebab ia bersifat sangat subjektif.

“Kalau tanya untuk masuk industri ini dari segi pakej, saya rasa rupa juga penting dan bakat itu yang nombor satu. Bagaimanapun, bakat boleh diasah. Seperti saya ketika mula-mula berlakon, saya kosong.

“Saya selalu bertanya kepada pelakon senior, selalu berbaik, dapatkan nasihat daripada mereka (pelakon senior), itu yang membuatkan saya (bertahan) hingga ke hari ini. Hendak kata bagus itu, tidaklah.

“Alhamdulillah. Kalau dulu setakat nak baca skrip sahaja masa berlakon, namun berkat bantuan pelakon senior dan pengarah yang bagus, sangat membantu saya dan jadi proses pembelajaran,” katanya.

Menurut Fasha, sehingga sekarang dia masih belajar ilmu-ilmu lakonan termasuk mengikuti kelas dengan berguru bersama Datuk Fauziah Nawi setiap kali mendapat watak utama dalam naskhah yang hebat.

Terdahulu, Fasha ditemui media selepas dia dilantik sebagai duta jenama Mustajab di sebuah restoran di ibu kota, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Fasha didapati tampil mempertahankan Firdaus di akaun media sosial selepas lakonan dipersembahkan oleh pelakon baharu itu dikecam netizen di TikTok.

Difahamkan, Fasha turut memberi saranan kepada netizen agar ‘enjoy’ dulu menonton drama Doa Yang Terlindung berikutan ia baharu ditayangkan dan jalan cerita juga masih panjang untuk memaparkan keserasian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top