Perhilitan diminta bantu

Perhilitan diminta bantu

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil maklum keresahan penduduk Blok F dan G rumah pangsa dekat Bandar Teknologi di sini berhubung isu kebersihan dan ancaman monyet liar.

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon 19 MPKj Bandar Teknologi Kajang, C Sangeetha berkata, beliau sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk membantu mengatasi masalah gangguan monyet liar.

Selain itu, katanya, beliau turut mengesan majikan yang menempatkan pekerja warga asing di kawasan itu supaya dapat mengambil tindakan terhadap isu kebersihan membabitkan pekerja mereka.

Terdahulu, Sangeetha meninjau dua blok terbabit bagi melihat lebih dekat, mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri keluhan penduduk.

Menurutnya, terdapat beberapa unit rumah di Blok G didapati terbiar dan dipenuhi sampah yang mengundang kehadiran monyet liar dari hutan berhampiran.

“Saya dimaklumkan bahawa PERHILITAN akan menempatkan sangkar di kawasan rumah pangsa itu bagi menangkap monyet liar terbabit, namun penembakan haiwan liar tidak akan dilaksana atas faktor keselamatan penduduk.

“Saya juga sudah berhubung serta bertemu majikan dan wakil syarikat yang menjadikan beberapa unit rumah sebagai asrama pekerja mereka terutama pekerja warga asing.

“Maklum balas diterima amat positif (untuk mendidik cara buang sampah betul) dan difahamkan syarikat terbabit sudah menerima kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (bagi kriteria asrama), namun perlu pemantauan lebih lagi bagi memastikan pekerja mereka tidak melakukan pencemaran.

“Majikan juga bersetuju memberi memberi cuti kepada pekerja terbabit pada hari penduduk mengadakan gotong-royong nanti,” katanya kepada Harian Metro bagi mengulas laporan semalam mengenai keluhan penduduk Blok F dan G rumah pangsa dekat Bandar Teknologi di sini, berhubung ancaman monyet liar dan kebersihan.

Mengulas lanjut, Sangeetha berkata, beliau akan memantau perkembangan masalah penduduk flat berkenaan dari semasa ke semasa dan berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam menjaga kebersihan.

“Penduduk warga asing tak boleh membuang sampah merata dan penduduk tempatan juga janganlah ada mentaliti sama. Jika ada masalah atau sebarang kesulitan boleh hubungi saya atau pihak MPKj kerana kami bersedia membantu rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top