Malaysia sasar kelompok lima teratas kutipan filem The Voice of Hind Rajab

Malaysia sasar kelompok lima teratas kutipan filem The Voice of Hind Rajab

Kuala Lumpur: Malaysia disasarkan berada dalam kelompok lima negara teratas daripada segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengiktirafan naskhah berkenaan di peringkat antarabangsa termasuk Anugerah Akademi (Oscar).

Penulis dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berkata, filem ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium naratif realiti, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di Gaza sejak hampir 800 hari lalu.

“The Voice of Hind Rajab dilihat sebagai antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah.

“Keberuntungan kita ialah kerana kisah Hind Rajab ini sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” katanya pada sesi Coffee Talk bersama ZRA, di sini, semalam.

Zainal Rashid yang dikenali sebagai ZRA adalah suara bagi kempen filem The Voice of Hind Rajab, selain Uyaina Arshad dan Ahmad Fedtri Yahya.

Zainal berkata, kekuatan utama filem The Voice of Hind Rajab terletak pada realiti kisah Allahyarham Hind yang berjaya dirakam dan difilemkan.

“Ini menjadikan kisah menimpa Hind sebagai antara tragedi sebenar pertama membabitkan kanak-kanak Palestin yang dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum,” katanya.

Coffee Talk bersama ZRA juga menjadi kupasan pasca tayangan The Voice of Hind Rajab, yang menekankan bahawa kisah Hind Rajab adalah kesinambungan daripada 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin.

Dalam sesi itu, penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan bagi memberi perspektif lebih luas tentang penderitaan generasi muda di Gaza.

Tetamu yang hadir mendapat manfaat pengetahuan mengenai siri kekejaman pembunuhan yang meliputi bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di kawasan lain yang terbabit dalam konflik.

Sesi terbabit bukan sekadar perbincangan filem, sebaliknya ia adalah ruang pendidikan dan kesedaran kemanusiaan.

Dalam pada itu, Zainal menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadi suara kepada Palestin dengan memberikan sokongan melalui kehadiran ke pawagam bagi menonton filem berkenaan, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia.

“Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” katanya.

Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan filem The Voice of Hind Rajab berkenaan dihadiri lebih 200 penonton.

Ia juga mendapat sokongan selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, antaranya Heliza dan Hazwani Helmi, Zizi Kirana serta Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof.

Filem The Voice of Hind Rajab yang mula ditayangkan sejak 8 Januari lalu, kini berada di 32 lokasi GSC di seluruh negara.

Naskhah ini mengisahkan tragedi sebenar menimpa Hind, kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.

Tragedi itu merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada Hind ketika berusaha menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top