am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gara-gara tidak berpuas hati tindakan pemandu kereta memotong kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya dan mengubah laluan tanpa memberi isyarat, lelaki warga emas mengacu senjata menyerupai pistol di Kilometer E37 Lebuhraya Hubungan Timur-Barat Kuala Lumpur, di sini.
Susulan itu, lelaki berusia 60 tahun terbabit ditahan polis pada 7 malam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, polis menerima laporan daripada seorang anggota yang melihat video berdurasi 34 saat memaparkan kejadian itu pada 4.13 petang.
“Pemandu SUV berkenaan didapati membuka tingkap kereta dan mengacukan satu objek menyerupai pistol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, lelaki berkenaan berjaya dikesan dan ditahan jam 7 malam hari ini selepas tiga jam laporan polis dibuat.
“Lelaki itu mengaku dia individu yang memandu dan mengacukan objek berkenaan yang juga pistol mainan dalam video berkenaan.
“Suspek tidak bekerja dan hasil semakan mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah.
“Suspek mendakwa terdapat sebuah kereta cuba memotong kenderaannya dan terus masuk ke kiri laluan tanpa isyarat menyebabkan dia tidak berpuas hati dan memotong semula kereta itu.
“Ketika itu, pemandu kereta berkenaan yang juga seorang lelaki membuka cermin dan marah.
“Suspek kemudian menurunkan cermin dan menunjukkan pistol mainan kepadanya dan terus bergerak dari situ,” katanya.
Katanya pihaknya merampas dua pistol mainan serta sebuah SUV milik lelaki itu.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek juga akan dibuat, esok untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
© New Straits Times Press (M) Bhd



