“Malaysia Disasar Lima Negara Teratas Kutipan The Voice of Hind Rajab, Buka Laluan Ke Oscar” – ZRA

“Malaysia Disasar Lima Negara Teratas Kutipan The Voice of Hind Rajab, Buka Laluan Ke Oscar” – ZRA

Malaysia disasarkan berada dalam kelompok lima negara teratas dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengiktirafan antarabangsa, termasuk pencalonan anugerah Oscar.

Perkara itu dikongsikan oleh Zainal Rashid Ahmad atau ZRA ketika sesi Coffee Talk bersama ZRA yang berlangsung pada 10 Januari 2026.

Menurutnya, karya berkenaan bukan sekadar medium naratif, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berpanjangan di Gaza yang kini mencecah hampir 800 hari.

ZRA berkata, filem berkenaan antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah.

“Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” katanya.

ZRA yang turut bertindak sebagai suara kempen filem itu menjelaskan, kekuatan utama karya berkenaan terletak pada realiti tragedi Hind Rajab yang berjaya difilemkan, menjadikannya antara kisah sebenar pertama melibatkan kanak-kanak Palestin dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum.

Sesi Coffee Talk itu juga menjadi kupasan pasca tayangan yang menegaskan kisah Hind Rajab sebagai kesinambungan kepada siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin sejak lebih lima dekad lalu.

Penonton turut dibawa mengimbau tragedi kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan bagi memberi perspektif lebih luas mengenai penderitaan generasi muda di Gaza.

Dalam masa sama, ZRA menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadi suara kepada Palestin dengan hadir ke pawagam bagi menyokong tayangan filem berkenaan, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia.

“Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” katanya.

Sesi Coffee Talk dan tayangan filem itu dihadiri lebih 200 peserta serta mendapat sokongan selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan antaranya Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana dan Nini Yusof.

Filem yang mula ditayangkan sejak 8 Januari lalu itu kini berada di 32 lokasi pawagam dan mengisahkan tragedi sebenar Hind Rajab, kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.

Tragedi berkenaan turut merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan kecemasan daripada Hind ketika cuba menyelaras bantuan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya.

Scroll to Top