Pegawai kanan ATM selesai beri keterangan, siasatan lengkap dalam seminggu

Pegawai kanan ATM selesai beri keterangan, siasatan lengkap dalam seminggu

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai merakam percakapan seorang pegawai kanan ATM bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah terbaru membabitkan pasukan pertahanan negara itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rakaman percakapan terhadap individu itu selesai pada jam 5 petang hari ini.

“Beliau sudah dilepaskan. SPRM akan melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu dan sebarang kemas kini mengenai siasatan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam lingkungan usia 60-an itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 11 pagi.

Semalam, Harian Metro mendedahkan seorang lagi pegawai tertinggi dalam ATM kini berada dalam radar SPRM kerana disyaki terpalit skandal penyelewengan perolehan dalam pasukan itu.

Siasatan awal SPRM dalam kes dakwaan rasuah perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), mendapati wujud aktiviti penerimaan suapan secara terancang dalam kalangan pegawai tentera.

Difahamkan, fokus SPRM ketika ini ialah untuk menyiasat dakwaan rangkaian rasuah yang berlaku dalam pasukan berkenaan.

Sumber dipetik berkata, hasil siasatan SPRM mengesan terdapat kemungkinan beberapa pegawai tentera lain turut memainkan peranan dalam kes rasuah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top