Petronas mohon penjelasan mahkamah mengenai kerangka kawal selia petroleum di Sarawak

Petronas mohon penjelasan mahkamah mengenai kerangka kawal selia petroleum di Sarawak

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Petronas dalam kenyataan berkata, pihak responden yang dinamakan adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menurutnya, permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.

“Permohonan itu tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri.

“Keputusan memfailkan usul ini dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan sejak 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Meskipun terdapat kemajuan yang sudah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas,” katanya, hari ini.

Petronas turut menyatakan harapan supaya semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini.

“Petronas menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan.

“Sementara itu, Petronas tetap komited untuk melaksanakan operasinya dengan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak.

“Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Petronas akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak dan memelihara kemakmuran Malaysia.

“Petronas kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usaha sama syarikat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top