nurul_husna@mediaprima.com.my
Ia mulanya diterima sebagai gurauan ringan namun sebenarnya adalah permulaan kepada bibit bahaya
Data yang dikutip daripada dua enjin tinjauan global berkaitan dinamik hubungan romantis dalam organisasi turut menemukan fakta yang mengejutkan.
Antara reaksi diperoleh membabitkan pengakuan responden mengenai pengalaman sendiri dalam skandal di tempat kerja.
Menerusinya, pengakuan responden yang mengakui pernah curang dengan rakan sekerja mencapai 40 peratus, dengan enam peratus daripada mereka pernah kehilangan pekerjaan akibat hubungan romantis itu.
Satu lagi enjin tinjauan berpusat di luar negara turut melaporkan, 20 peratus responden pernah berhubungan dengan rakan sekerja berstatus sudah berkahwin.
Ternyata, fenomena itu bukan lagi isu terpencil, malah semakin kerap dilapor di media, termasuk media sosial, yang kerap menjadi ‘medan’ pembongkaran skandal di tempat kerja.
Malah, banyak definisi diberikanpakar, termasuk pakar psikologi mengenai skandal di tempat kerja. Ia pernah merujuk kepada hubungan peribadi atau romantik yang bercanggah dengan etika, nilai moral atau peraturan organisasi.
Ia termasuk berkaitan hubungan sulit dengan individu sudah berkahwin, hubungan intim antara ketua dan pekerja bawahan, hubungan membawa unsur pilih kasih (favoritisme) dan hubungan yang menjejaskan objektiviti dan profesionalisme.
Malah, jurnal oleh dua ahli psikologi organisasi Amerika Syarikat, Lisa Mainiero dan Cheryl A Jones, menemukan kesan negatif ‘spillover’ (kesan limpahan emosi) dalam konteks skandal dalam pejabat yang menjejaskan prestasi kerja, moral pasukan dan budaya organisasi daripada sisi negatif.
Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah Universiti Malaya Dr Atifah Mohd Yusof, mengulas lebih mendalam gejala ini mengikut perspektif agama dan batas profesional individu.
“Jika suatu ketika dahulu hubungan sulit lebih dikaitkan dengan lingkungan sosial luar, hari ini, tempat kerja menjadi lokasi tercetusnya hubungan terlarang.
“Tidak dinafikan, persekitaran kerja hari ini menuntut interaksi yang dekat dan perbincangan rapat antara lelaki dan perempuan.
“Namun interaksi yang dekat ini tidak bermakna membenarkan hubungan terlalu rapat atau jarak fizikal begitu dekat sehingga berlakunya pelanggaran batas agama,” katanya.
Kata beliau, agama antara nilai penting memastikan profesional terus membataskan tindak tanduk termasuklah dalam urusan kerja.
“Dalam suasana hari ini, sempadan profesional menjadi kabur jika tidak dikawal dengan nilai agama.
“Hal ini terjadi, contohnya, apabila lelaki dan perempuan berbincang berdua di ruang yang boleh menimbulkan syak wasangka.
“Dalam berbual itu pula, boleh jadi ia di luar topik yang tidak sesuai dibincangkan oleh lelaki dan perempuan bukan mahram seperti hal peribadi, rumah tangga atau pasangan,” katanya.
Skandal di pejabat boleh dicetus bermula dengan pujian dan gurauan berlebihan, rutin sering makan atau perjalanan kerja berdua dan komunikasi larut malam.
Kata Dr Atifah lagi, hubungan sulit juga bermula dengan sentuhan emosi yang sederhana.
“Kajian psikologi menunjukkan, majoriti hubungan sulit bermula sebagai ’emotional affair’ dan bukan hubungan fizikal.
“Ia sering bermula apabila seseorang merasa lebih difahami oleh rakan sekerja berbanding pasangan di rumah, atau apabila seseorang sering berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan berlainan jantina.
“Interaksi sebegini memberi peluang kepada kebergantungan emosi, yang akhirnya membuka pintu kepada hubungan sulit,” katanya.
Pada masa sama, sikap normalisasi budaya hubungan bebas menerusi media sosial dan drama hiburan menjadikan skandal seolah-olah perkara biasa.
“Istilah seperti ‘office husband’, ‘office wife’ dan ‘office soul mate’ yang diterima sebagai gurauan ringan sebenarnya permulaan kepada bibit bahaya.
“Selain itu, teknologi turut memudahkan hubungan rahsia yang mana aplikasi pesanan peribadi memberi ruang untuk komunikasi tanpa batas,” katanya.
Beliau menyarankan supaya golongan wanita bekerja tidak terlalu berlebihan dalam berhias kerana dikhuatiri melakukan ‘tabarruj’.
“Tabarruj merangkumi penampilan wanita yang menonjolkan bentuk tubuh, pakaian ketat atau jarang, solekan tebal, aksesori berlebihan, suara dan pergerakan yang sengaja menarik perhatian lelaki.
“Selain itu, penggunaan wangian yang kuat oleh wanita dengan sengaja mahu membuat lelaki terpesona juga antara tabarruj.
“Jika wanita membataskan diri daripada tabarruj, mereka melindungi kehormatan diri dan lebih profesional dalam organisasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




