Keputusan sambung reman bekas Panglima Tentera Darat bergantung keperluan siasatan

Keputusan sambung reman bekas Panglima Tentera Darat bergantung keperluan siasatan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan sama ada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) akan disambung reman atau tidak bergantung kepada keperluan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini, beliau tidak boleh memberikan sebarang pengesahan kerana masih mempunyai satu hari lagi.

Menurutnya, jika memerlukan tempoh tambahan, SPRM akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan lanjutan reman.

“Sebenarnya kita mempunyai tempoh 14 hari. Jadi, sekiranya esok genap tujuh hari, ia bergantung kepada keperluan siasatan (sambung reman).

“Jika memerlukan tempoh tambahan, kita akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan lanjutan reman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (Mou) SPRM dan HELP University, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan akan memberi perkembangan lanjut berkaitan kes itu pada sidang media SPRM Khamis ini.

Harian Metro melaporkan seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember 2005, SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top