'Belajar elok-elok, jaga adik-adik, jangan tinggal solat'

'Belajar elok-elok, jaga adik-adik, jangan tinggal solat'

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: “Belajar elok-elok, jaga adik-adik, jangan tinggal solat dan banyakkan berdoa agar diterangkan hati serta fikiran.”

Itu kata-kata terakhir guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Norawalysa Mat Talpi, 44, kepada anaknya sebelum dia maut dalam nahas dua kenderaan di Jalan Bukit Talang, Jalan Raja Musa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandu guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya itu merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.

Turut terkorban, dua anak Allahyarham, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz, 8. Seorang lagi mangsa, Ahmad Syah Fitri, 10, cedera di bahagian kepala.

Anak Allahyarham, Auni Syafiqah, 17, berkata, pesanan itu kerap disampaikan ibunya setiap kali sebelum bertolak ke sekolah tetapi semalam ia berbeza.

“Selalu arwah berpesan sambil memandang saya namun semalam dia tidak berbuat demikian. Kebetulan adik-beradik lain sedang bersiap dan hanya saya bersama dengannya.

“Tak sangka itu pesanan terakhir ibu dan selepas ini saya akan merinduinya,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui dalam lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh di kediamannya di Kampung Parit Serong, di sini hari ini.

Terdahulu, Nurul Syazwani meluangkan masa selama kira-kira sejam bertanya khabar keluarga itu.

Auni Syafiqah yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ibu dan dua adiknya sekitar jam 2.30 petang semasa berada di sekolah.

Katanya, dia dan kembarnya, Auni Syafiah, 17, serta seorang lagi adik, Auni Syazwani, 15, bergegas ke lokasi sambil ditemani ahli keluarga lain.

“Sebaik tiba, kami turun dari kereta untuk mendapatkan mereka. Orang pertama yang ditemui adalah ibu. Kami buka kain yang menutup wajah dan badannya sambil cium.

“Kami kemudian sujud sambil bertanya ‘kenapa ibu?.’ Selepas itu kami mendapatkan Auni Syazana dan Ahmad Syah Fawwaz.

“Sebak bercampur pilu mengenang siapa yang akan tolong dan ingatkan kami untuk banyak perkara selepas ini,” katanya.

Auni Syafiqah berkata, meskipun arwah sudah tiada namun pesanan dan nasihatnya tetap akan diingati hingga akhir hayat.

“Nak kata kuat, kena juga kuat walaupun tidak sebenarnya sebab tiga individu yang kami paling sayang pergi serentak,” katanya.

Allahyarham Norawalysa meninggalkan suami, Suhaimi Mohamad Jajuli, 44 dan empat anak.

Terdahulu, kesemua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Serong, awal pagi hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top