London: Michael Carrick bersetuju untuk dilantik sebagai pengurus sementara Manchester United sehingga penghujung musim ini.
Bekas pemain Red Devils itu akan mengambil alih tugas daripada rakan sepasukannya dan juga bekas pemain tengah, Darren Fletcher, di bangku simpanan Old Trafford.
Fletcher dinaikkan daripada peranannya sebagai ketua jurulatih bawah 18 tahun untuk memimpin pasukan menentang Burnley dan Brighton selepas Ruben Amorim dipecat.
Beliau membimbing pasukan seri 2-2 di Turf Moor sebelum United tersingkir daripada Piala FA apabila bekas penyerang mereka, Danny Welbeck, menjaringkan gol kemenangan buat Brighton.
Kini Carrick akan mengetuai pasukan sehingga musim panas nanti.
Pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak lima kali itu, kini berusia 44 tahun, pernah mengendalikan United dalam tiga perlawanan sebagai pengurus sementara pada penghujung 2021 selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat, sebelum Ralf Rangnick dilantik sebagai pengurus sementara.
Menariknya, Carrick mengatasi Solskjaer untuk jawatan kali ini selepas United mengadakan perbincangan dengan kedua-dua bekas pengurus itu.
Selepas tempoh singkatnya di Old Trafford, Carrick menghabiskan tiga tahun sebagai pengurus Middlesbrough, mencatat kemenangan hampir separuh daripada 136 perlawanan yang dikendalikannya.
Boro menamatkan saingan di tempat keempat, kelapan dan kesepuluh dalam Liga Kejuaraan di bawah kendalian Carrick, namun beliau dipecat pada penghujung musim lalu.
Carrick akan mengendalikan 17 perlawanan, bermula dengan derbi Manchester di Old Trafford pada Sabtu ini, dengan United sudah tersingkir daripada Piala FA dan Piala Liga serta gagal melayakkan diri ke pentas Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




