am@hmetro.com.my
Gerik: Nahas tiga kenderaan mengorbankan empat individu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), di sini hari ini dipercayai berpunca daripada Perodua Axia yang dinaiki mangsa hilang kawalan selepas memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, nahas berlaku di Kilometer 38.5 JRTB berhampiran kawasan Tasik Banding, di sini yang turut membabitkan lori dan sebuah kereta Proton Persona.
Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Axia itu dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun bersama empat penumpang datang dari arah Gerik menuju ke Jeli, Kelantan.
“Berdasarkan siasatan awal, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Proton Persona.
“Perodua Axia itu kemudiannya hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori yang berada di belakang Proton Persona.
“Akibatnya, kereta terbabit diseret sejauh kira-kira tiga hingga tujuh meter,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, empat penumpang dalam Perodua Axia adalah lelaki berusia 31 tahun; wanita berusia 40 tahun; serta dua kanak-kanak iaitu lelaki berumur sembilan tahun dan perempuan berumur tiga tahun.
Mohd Alwi berkata, keempat-empat mangsa berusia 3, 19, 31, dan 40 tahun meninggal dunia di lokasi manakala kanak-kanak lelaki parah dan dirawat di hospital.
Katanya, pemandu Proton Persona berusia 20 tahun bersama tiga penumpang dan pemandu lori berumur 42 tahun serta kelindan, 34, tidak cedera.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya kini sedang mengesan saksi bebas dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera papan pemuka bagi membantu siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




