'Saya akan terus berjuang agar anak saya mendapat keadilan' – bapa Irene Sofiya

'Saya akan terus berjuang agar anak saya mendapat keadilan' – bapa Irene Sofiya

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Bapa kepada Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh, semalam bertekad memperjuangkan keadilan buat anaknya itu.

Mohd Khairool Faisal, 42, berkata, dia bersama ahli keluarga akan memastikan anak tunggalnya itu mendapat pembelaan sewajarnya berkaitan tragedi terbabit.

“Saya akan terus berjuang agar anak saya mendapat keadilan. Saya perlukan sokongan semua pihak demi anak saya.

“Kami harap pelakunya mendapat hukuman sewajarnya. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya ditemui selepas pengebumian Irene Sofiya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairool Faisal berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya, kira-kira 6 petang semalam.

Katanya, kakak sulungnya, Siti Nur Faeza Khyar, 45, menghubunginya dan memaklumkan Fiya ditemukan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.

“Ketika itu saya sedang bekerja di Bangi sebelum bergegas pulang ke kampung untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Fiya ialah dua minggu lalu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah, Fiya kelihatan ceria dan seronok belajar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairool Faisal turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada dia dan keluarganya susulan kejadian berkenaan.

“Alhamdulillah, daripada awal hingga akhir, urusan Fiya sangat mudah. Saya bersyukur kepada semua yang datang sejak semalam.

“Kami tidak mampu membalas budi baik mereka semua,” katanya.

Terdahulu, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa direman enam hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes kematian Irene Sofiya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira 7 malam semalam di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat kejadian.

‘Saya peluk Fiya sambil mengajarnya mengucap kalimah syahadah’ – Nenek pelajar dibunuh

‘Saya tak dapat bayangkan kesakitan, kesengsaraan dia tanggung’ – Ibu saudara pelajar dibunuh

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top