5,000 penonton terhibur walau ada insiden 'blackout'

5,000 penonton terhibur walau ada insiden 'blackout'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

KETEPIKAN insiden ‘blackout’ ketika persembahan Wali Band pada Konsert Pentas RadjaWali yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Ia kerana, secara keseluruhannya konsert menggandingkan dua kumpulan popular Indonesia yang mempunyai ramai peminat ini amat dinanti-nantikan.

Konsert ini pembuka diari 2026 konsert artis Indonesia di Malaysia. Reputasi dan populariti lagu-lagu mereka menjadi faktor utama kehadiran 5,000 penonton pada malam itu.

Semestinya mereka mahu melayan lagu-lagu popular baik daripada kumpulan Radja mahupun Wali Band yang pernah menduduki carta lagu-lagu popular sebelum ini.

Penonton yang memenuhi setiap ruang di Idea Live Arena sudah bersedia sejak jam 8 malam dan tidak sabar untuk menikmati konsert ini.

Bagaimanapun, penganjur menyedari sensitiviti masyarakat sekitar yang beragama Islam, hanya memulakan persembahan pada jam 8.50 malam, iaitu selepas solat Isyak.

Makanya sebaik tampil di atas pentas, Radja yang diterajui oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram) terus memberikan aksi bertenaga buat peminat.

Bermula dengan lagu Tulus, ia disusuli dengan Manusia Biasa, Yakin, Jangan Sakiti Aku, Sama-Sama Suka, Patah Hati dan banyak lagi lagu-lagu menarik.

Ian pula pandai berkomunikasi dan bijak mengambil hati penonton dengan celotehnya sekali gus menggamatkan keadaan, selain mengambil peluang turun ke bawah pentas untuk mendekati mereka.

Semakin lama suasana semakin rancak dan Radja semakin asyik membuai peminat dengan lagu-lagu popular mereka yang lain iaitu Jujur, Cinderella dan Takkan Melupakanmu.

Persembahan mereka tamat sekitar jam 10.45 malam dan giliran Wali Band pula mengambil alih pentas dengan menerima sambutan hangat dan pekikan meriah peminat.

Wali Band dibarisi oleh Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Ovie (pemain keyboard) dan Tomi (pemain dram) tampil bersemangat menerusi lagu Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Nenekku Pahlawan, Abatasa dan Doaku Untukmu Sayang.

Peminat semakin teruja dan turut sama menyanyi mengiringi persembahan Faank. Semakin lama lagu-lagu yang dinyanyikan semakin menarik.

Lagu seterusnya yang dinyanyikan ialah Emang Dasar dan diikuti lagu Ada Gajah Di Balik Batu. Bagaimanapun, ketika asyik menikmati lagu ini, lampu pentas tiba-tiba dipadamkan manakala sistem bunyi dimatikan.

Situasi ini jelas mengecewakan peminat yang teruja untuk menantikan lagu popular iaitu Tobat Maksiat, Yank, Aku Bukan Bang Toyib, Cari Jodoh dan beberapa yang lain.

Mujurlah penonton kita masih waras dan dapat mengawal emosi daripada melakukan sesuatu yang di luar batasan.

Walaupun marah apabila persembahan dihentikan dan lagu yang ditunggu-tunggu tidak disamapikan Wali Band, mereka tetap meninggalkan pentas dengan aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top