Nenek 100 tahun 'vlogger' makanan, selera macam orang muda

Nenek 100 tahun 'vlogger' makanan, selera macam orang muda

Shanghai: Seorang nenek berusia 100 tahun tular di media sosial sebagai penggemar vlog makanan berikutan minatnya terhadap pelbagai jenis makanan, lapor South China Morning Post.

Minat kulinari Zhong Wenyu termasuk makanan berperisa kuat yang biasanya dihindari oleh warga emas.

Menurut media, gaya hidup Zhong yang genap 100 tahun pada September tahun lalu, jauh berbeza daripada kebanyakan warga tua yang lebih suka diet hambar bagi mengekalkan kesihatan.

Walaupun tidak mempunyai gigi, Zhong tetap menikmati hidangan tradisional dan kegemaran moden seperti teh susu, kola, kopi serta ais krim.

Menurut anak perempuannya, Zhang, dia gemar makan di restoran dan membuat pesanan melalui platform penghantaran makanan.

Selain tahap gula dan tekanan darah, pemeriksaan fizikal Zhong yang lain adalah normal.

Difahamkan, bagi memenuhi keperluan kesihatannya, keluarga menukar minumannya kepada versi tanpa gula.

“Pada usia sebegini dia sudah tiada keperluan untuk mengehadkan pemakanannya. Kami cuma membiarkan dia makan apa sahaja yang disukainya,” kata Zhang.

Menurut Zhang, selain selera makan yang baik, rahsia panjang umur Zhong termasuk pemikiran positif dan mengikuti trend fesyen.

Zhong menjadi terkenal pada Mei tahun lalu melalui klip video yang menunjukkan dia sedang makan ketam, dimuat naik oleh cucunya, Xiaodan.

Menurut media, Xiaodan membuka akaun media sosial ‘100-year-old Sister Zhong’ pada awal tahun lalu bagi merakam kehidupan harian neneknya.

Kata Xiaodan, sesetengah pengguna internet memuji Zhong sebagai ‘orang tua berenergi tinggi’, manakala sebahagian lain menuduh keluarga mengeksploitasinya.

Zhong dilahirkan dan dibesarkan di Chongqing, barat daya China dan menempuh kesusahan akibat peperangan serta kemiskinan sebelum ini, tetapi kini dia optimis termasuk berpuas hati dengan kehidupannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top