UMNO bukan 'pak turut'

UMNO bukan 'pak turut'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti itu bukan ‘pak turut’ dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berperanan sebagai penyumbang paling efektif dalam memastikan dasar kerajaan tidak menyimpang daripada kepentingan negara dan orang Melayu.

Mohamad berkata, walaupun UMNO hanya mempunyai 30 Ahli Parlimen, kehadiran lapan menteri penuh daripada parti itu menjadikan suara UMNO signifikan dalam menentukan hala tuju dan keputusan Kabinet.

“Ada yang menuduh kita ini ‘pak turut’, boleh dibuli dan dicucuk hidung. Persepsi itu perlu dimatikan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, UMNO sentiasa memastikan tiada dasar melampau yang boleh merugikan kepentingan orang Melayu diluluskan tanpa penelitian rapi.

Beliau turut memberi contoh pendirian tegas dalam menangguhkan cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana bimbang ia berisiko menghakis hak milik tanah orang Melayu di kawasan bandar atas nama pembangunan komersial.

“Kita tidak mahu orang Melayu jadi ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

“Sebab itu menteri-menteri UMNO bertegas supaya akta itu ditangguh dan disemak semula demi melindungi hak pemilik tanah asal,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, UMNO juga menolak cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) yang dibangkitkan oleh beberapa rakan komponen dalam kerajaan kerana berisiko mencetuskan polarisasi kaum dan ketidakseimbangan kuasa di kawasan bandar.

“UMNO melihat jauh ke hadapan. Kita bantah secara terus terang dan hasilnya hasrat itu tidak diteruskan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menepis dakwaan agenda Bumiputera terpinggir di bawah Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menegaskan agenda berkenaan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif.

“Ini termasuk penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) serta pengukuhan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“UMNO mungkin tidak bising di media sosial atau menjerit di TikTok, tetapi kita bekerja senyap-senyap sebagai benteng supaya kerajaan ini tidak tergelincir daripada landasan asal negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top