'Syukur tawaran semakin ada' – Asheed

'Syukur tawaran semakin ada' – Asheed

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan Def Gab C, Asheed, 53, meluahkan kesyukuran apabila nama kumpulannya kembali bermain di bibir peminat.

Asheed atau nama sebenarnya, Mohd Ashid Ahmad berkata, mereka kini mula menerima tawaran mengadakan persembahan antaranya di Showcase Jiwa Malaysia dan AirAsia Hausboom Festival dan Pesta Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Syukurlah tawaran semakin ada berbanding dulu. Kemunculan saya dalam Gegar Vaganza 9 ada juga bawa perubahan dalam karier berbanding sebelumnya.

“Dengan Def Gab C lagi perlahan. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) langsung tiada tawaran untuk kumpulan. Memang keadaan sangat perit ketika itu.

“Sekarang agak berbeza dan kami sentiasa sedia untuk terima tawaran show,” katanya ditemui ketika hadir pada sidang media Malam Anugerah Waris Kedah 2026, di Matrade, semalam.

Menurutnya, mereka juga bercadang untuk menghasilkan lagu baharu, namun mengakui sukar mengenal pasti trend lagu-lagu terkini.

“Nak kena sendiri turun padang, buat kerja lebih. Kalau sanggup, bolehlah kami rakam lagu. Kalau tak sanggup, nanti dulu. Sekarang nak buat satu lagu pun amat susah, perit.

“Mungkin kami akan buat secara pelan-pelan. Dulu album dua bulan boleh siap 10 lagu. Ada lagu terus masuk studio. Memang sangat berbeza.

“Kami juga mungkin bertemu ‘sifu’ JoBranko yang terbitkan album Def Gab C. Tapi itulah, dari segi kos mungkin tinggi. Mungkin perkara ini boleh dibincangkan bersama,” katanya.

Menurutnya, mereka berterima kasih kepada JoBranko kerana ideanya berjaya melonjakkan Def Gab C sebagai antara kumpulan popular ketika itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top