am@hmetro.com.my
Pendang: Isteri kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan dengan kereta Perodua Axia di Jalan Tanah Merah, di sini semalam, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pendang akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Mohd Rosli Yusof berkata, wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan retak tulang pinggul sedang menerima rawatan ketika ini.
Beliau berkata, anak perempuannya yang berusia 1 tahun 8 bulan retak tempurung kepala dan patah paha kanan pula dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.
“Wanita yang memandu kereta itu dan sedang hamil 31 minggu (8 bulan) itu pula dirawat di Hospital Pendang dan kini dalam pemantauan doktor, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki maut manakala isteri dan anak perempuan mereka parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu wanita hamil lapan bulan di hadapan sebuah gelanggang futsal, Jalan Tanah Merah, di sini semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Hafiz Mahyar, 37, yang beralamat di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar akibat cedera parah di kepala, kaki kiri dan kanan.
Kejadian berlaku apabila kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang sedang bergerak lurus menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal serta anak mereka tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
Berikutan itu, penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri dan anak mereka serta pemandu kereta terbabit dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




