'Ketika berdoa dengar bunyi, bila toleh ular tedung selar pandang tepat ke arah saya'

'Ketika berdoa dengar bunyi, bila toleh ular tedung selar pandang tepat ke arah saya'

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: “Waktu berdoa selepas solat Asar, saya dengar bunyi seperti sesuatu sedang bergerak di tepi. Bila toleh saya terkejut lihat ular tedung selar itu panggung kepala tepat ke arah saya,” kata Abdul Hamid Ahmad, 61.

Menurutnya, ketika itu dia terpaksa solat di kerusi kerana sakit kaki di rumah sewanya di Kampung Solok Limau Purut, Simpang Ampat, di sini.

“Saya tidak pasti dari mana ular itu datang tapi ia menyusur keluar di atas sebuah beg di hujung katil hingga menimbulkan bunyi, jika tidak saya perasan langsung ada ular.

“Saya pandang tepat ular itu namun tidak menjerit atau bergegas keluar sebab kaki memang tak kuat. Saya keluar perlahan-lahan dan panggil anak,” katanya ditemui di rumahnya.

Abdul Hamid berkata, dalam kejadian Selasa lalu itu, mereka hanya memerhatikan dari luar bilik sehingga anggota APM tiba dan berjaya menangkap haiwan berbisa itu.

“Sebenarnya rumah ini sudah lama tidak didiami dan saya baru saja menyewa rumah ini sejak 2 Januari lalu.

“Namun saya kerap datang membersihkan persekitaran rumah ini yang dipenuhi semak samun sejak setahun lalu,” katanya yang bersyukur terselamat daripada dipatuk ular itu.

Tambahnya, sebelum kejadian dia pernah beberapa kali menjumpai kulit ular di kawasan bawah pokok di hadapan rumah.

“Saya fikir biasa saja sebab rumah kosong lama dan tak sangka ia masuk ke dalam rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top