Kuala Lumpur : Suami pelakon Nadia Kesuma, iaitu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menjelaskan kekeliruan ramai berhubung mesej ‘I met strangers’ yang ditinggalkan isterinya sebelum dilapor gagal dikesan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Muhammad Kamarul menerusi entri Facebook (FB) berkongsi, frasa ‘strangers’ (orang tidak dikenali) yang dimaksudkan adalah kenalan baharu ditemui isterinya dalam perjalanan mengerjakan umrah.
“Untuk pengetahuan semua, ‘I met strangers’ itu tidak betul. Saya tak terima sebarang mesej sebegitu dari Nadia.
“Ketika dalam perjalanan ke tempat pertemuan jemaah Nuh Travel yang lain di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) Nadia kongsi bahawa umrah kali ini berbeza dengan tahun lalu.
“Katanya, tahun lalu dia pergi bersama kawan-kawan, kali ini dengan ‘strangers’ (orang tak dikenali). Saya sampuk, saya juga bersama orang tak dikenali bila saya pertama kali mengerjakan umrah. Dua hingga tiga hari jadi kawanlah,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Muhammad Kamarul menjelaskan, ‘strangers’ yang dimaksudkan juga adalah jemaah lain yang baru dikenali.
“Jadi, ‘strangers’ di sini merujuk kepada jemaah lain yang Nadia bertemu buat kali pertama dan Dia memang tidak kenal 19 jemaah lain dalam kumpulan itu masa dia jumpa mereka di KLIA,” katanya.
Nadia yang membintangi filem Syaitan Munafik itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara itu dimaklumkan agensi umrah, Nuh Travel & Tours Sdn Bhd (Nuh Travel), dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nuh Travel, Nadia Kesuma atau nama sebenar, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, menyertai Pakej Umrah Ziarah London dan Paris bersama 21 jemaah.
Semalam, media melaporkan Nadia gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




