am@hmetro.com.my
Johor Bahru : UMNO Johor mencadangkan supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula bagi tujuan pembangunan dan kemajuan negeri ini.
Cadangan itu sebagai menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya 25 peratus atau lebih cukai yang disumbangkan oleh Johor dipulangkan semula.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Johor dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh jika diberikan sokongan yang sewajarnya.
“Segala kejayaan yang dicapai Johor adalah hasil kerja berpasukan dan hasil kerjasama pelbagai agensi, khususnya sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan.
“Johor tidak akan sampai ke tahap ini, jika ia bersendirian. Sebagaimana itu juga, Johor berpotensi untuk pergi lebih jauh, sekiranya ia diberi sokongan yang sewajarnya.
“Dalam hal ini, UMNO Johor menjunjung titah Tunku Mahkota Ismail supaya 25 peratus atau lebih cukai yang disumbangkan oleh Johor dipulangkan bagi pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya ketika Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2025, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, Johor sedang mengejar cita-cita besar untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.
Katanya, berkat sokongan Kerajaan Persekutuan, serta kestabilan politik dan khidmat cemerlang Kerajaan Negeri, Johor mencipta deretan kejayaan termasuk pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara, kutipan hasil tertinggi dalam sejarah negeri, hasil jualan pertanian tertinggi dalam negara, menjadi negeri pertama diiktiraf sebagai ‘Smart State dan terus merekodkan pelaburan tertinggi dalam negara berjumlah RM 91.1 billion setakat suku ketiga 2025.
“Apa jua yang berlaku, turun naik sentimen, pasang surut politik, di dalam mahupun di luar negeri, tumpuan UMNO Johor tetap satu iaitu untuk memastikan impian Negeri Maju menjelang 2030 menjadi kenyataan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




