Lauk telur sos jadi kenangan terakhir, kanak-kanak 10 tahun reda kehilangan ibu, dua beradik

Lauk telur sos jadi kenangan terakhir, kanak-kanak 10 tahun reda kehilangan ibu, dua beradik

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: Perbualan singkat selama lima minit bersama insan tersayang menjadi memori yang akan diingati Ahmad Syah Fitri Suhaimi sehingga akhir hayat.

Ini selepas anak kelima daripada enam beradik itu terselamat dalam nahas dua kenderaan di Bukit Talang, Jalan Raja Musa, di sini Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu ibunya, Norawalysa Mat Talpi, 44, bersama dua anak, Auni Syazana, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz, 8, maut di tempat kejadian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dinaiki empat beranak itu merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.

Menceritakan semula tragedi itu, Ahmad Syah Fitri, 10 berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah sempat berbual ringkas sebelum tertidur di kerusi baris ketiga.

“Saya tak ingat apa yang terjadi. Hanya tersedar apabila orang ramai keluarkan saya dan waktu itu tidak terlintas di fikiran ibu dan adik-adik masih ada dalam kereta.

“Saya mengetahui mereka meninggal dunia selepas dimaklumkan ayah ketika menerima rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Serong, di sini hari ini.

Ahmad Syah Fitri berkata, dia tidak menyangka permintaannya kepada arwah ibunya untuk memasak lauk telur sos sehari sebelum kejadian akan menjadi kenangan terakhir.

“Meskipun terkejut dengan kejadian ini, saya reda dan hanya mampu mendoakan mereka supaya tenang di alam sana,” katanya.

Sementara itu, suami Allahyarham, Suhaimi Mohamad Jajuli, 44, berkata, anak lelakinya itu dibenarkan keluar dari Hospital Tanjong Karang, kelmarin.

“Insya-Allah, esok doktor akan buka jahitan di mata kiri dan kepala anak. Doktor juga memintanya supaya berehat di rumah sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

“Pada masa sama, saya bercadang untuk memindahkannya ke sekolah berhampiran dengan rumah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Suhaimi berkata, dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus mendoakan keluarganya untuk meneruskan kehidupan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top