am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: “Isteri ada beritahu lepas habis berpantang mahu balik dan duduk lama sikit di kampung,” kata Muhammad Zulfadhli Humaidi, suami mangsa kemalangan maut, Maslina Md Shafei.
Muhammad Zulfadhli, 33, berkata, arwah isterinya juga begitu teruja mahu memperkenalkan dan membawa balik anak mereka yang baru dilahirkan, Medina El Zahra untuk berjumpa keluarga mereka di Kelantan kerana isterinya bersalin di Kuala Lumpur, September lalu.
“Saya ingat niat dia lah, dia kata dah lama lepas pantang, dia nak balik kampung, nak duduk lama sikit.
“Jadi, sekarang saya fahamlah niat dia (rupanya hasrat terakhir), sebab sebelum ni saya tangguh dulu (balik kampung) sebab bagi habis pantang, biar ibu, anak stabil dulu, sehinggalah semalam, bila mak saudara dia meninggal, dia minta balik kampung, jadi tak apalah, baby pun dah stabil, jadi izin dia balik (kampung),” katanya ketika ditemui di Masjid As Saadah, Kampung Permatang Gading, di sini, malam ini.
Muhammad Zulfadhli berkata, isterinya juga sempat mengirim mesej terakhir kira-kira jam 4 petang memaklumkan mereka sudah berada di Pahang dan mahu memasuki Gua Musang.
Jenazah Maslina, 33, dan anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad jam 10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam As Saadah, Kampung Permatang Gading.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi Masjid As Saadah sebaik jenazah dua beranak itu tiba jam 7.15 malam dan suasana bertambah sebak ketika ahli keluarga dan rakan memberikan penghormatan terakhir buat kedua mereka.
Lebih memilukan, apabila kebanyakan ahli keluarga menangis dan menitiskan air mata kerana bertemu pertama kali dengan bayi Maslina dalam keadaan sudah tidak bernyawa terutamanya bapa arwah, Shafei Awang Besar yang baru kehilangan kakak, Saudah Awang Besar.
Shafei berkata, dia sempat bertemu Maslina dan melihat cucunya ketika ke Kuala Lumpur, Rabu lalu dan sempat menghabiskan masa selama tiga hari di sana.
Katanya, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan anaknya namun dia reda kehilangan anak dan cucu selain turut kematian kakak dalam tempoh yang sama.
Maslina dan anaknya Medina meninggal dunia ketika perjalanan pulang ke Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh untuk melawat Saudah yang terlebih dahulu meninggal dunia mengejut selepas demam beberapa hari pada jam 11.00 pagi semalam.
Jenazah kedua mangsa turut dikebumikan bersebelahan kubur ibu saudara Maslina yang baharu meninggal dunia.
Maslina yang menaiki kereta bersama abangnya dan ahli keluarga lain terbabit kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk tiga Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha Modenas di Jalan Gua Musang – Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (KESEDAR) Paloh 3, Gua Musang, jam 5.15 petang.
Kemalangan turut membabitkan tujuh lagi mangsa termasuk abang Maslina, Azizi yang turut cedera parah akibat kemalangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




