Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Pemasyhuran Presiden KBGK 2026

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Pemasyhuran Presiden KBGK 2026

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis makan malam sempena Pemasyhuran Presiden anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, malam ini.

Keberangkatan baginda ke majlis yang dihadiri kira-kira 620 tetamu itu, disambut oleh Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md Hamdan serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.

Majlis itu menyaksikan pemasyhuran Ismail Mohamed Yusoff sebagai Presiden ke-39 KBGK yang menggantikan Muhammad Hamzah selaku Presiden ke-38 KBGK.

Mohamed Yusoff adalah arkitek profesional yang berkhidmat sebagai arkitek di syarikat arkitek DCA, selain Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengurusan dan pengeluaran kuari granite, Mael Impian Sdn Bhd dalam bidang korporat.

Hadirin majlis itu turut disajikan dengan persembahan murid dari Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP) Sungai Siput dan Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana, Seri Iskandar, Parit selaku sekolah angkat KBGK.

Dalam ucapannya, Muhammad Hamzah berkata warga KBGK menzahirkan rasa amat bertuah kerana bernaung di bawah payung pemerintahan Sultan Nazrin yang memahami denyut nadi rakyat jelata sekali gus sultan yang berjiwa rakyat dan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada apa jua aktiviti rakyat.

Menurutnya, sepanjang 2025 yang menyaksikan KBGK menjengah usia 48 tahun sejak penubuhannya, banyak aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan disempurnakan dengan kesemua aktiviti kelab diawali dengan kutipan derma besar-besaran.

Katanya, antara aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan sepanjang beliau menerajui KBGK bagi sesi 2024 dan 2025 adalah membantu mangsa banjir sekitar Perak, menyantuni gelandangan sekitar Ipoh, program berkhatan beramai-ramai, serta membantu anak-anak muda rakyat Perak yang memerlukan sumbangan kewangan dalam melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

Beliau berkata, lebihan daripada kutipan amal terbabit digunakan bagi memperkasakan bidang pendidikan kelab demi rakyat Perak dengan mendirikan Akademi Kemahiran Bakti Gunung Kledang KBGK atau Akademi KBGK yang fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sementara itu, Ismail dalam ucapannya berkata, kesepaduan sosial yang juga kunci kepada keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara menjadi misi buat beliau untuk mencari lebih rakan strategik KBGK.

Menurutnya, pembabitan lebih banyak rakan strategik khususnya badan bukan kerajaan (NGO) bersama KBGK bagi bekerjasama dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan, memberi impak lebih besar dan liputan kerja kebajikan yang lebih meluas.

“Pelbagai isu kemanusiaan yang semakin serius dalam alam persekolahan yang perlu ditangani segera seperti yang pernah dititahkan oleh Sultan Nazrin, membawa KBGK kepada rancangan ingin mewujudkan program kerjasama menangani bersama krisis kemasyarakatan dalam pendidikan.

“Pada Tahun ini patik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan mengambil SK Iskandar Perdana, Seri Iskandar sebagai sekolah angkat KBGK.

“Patik percaya apabila murid-murid didedahkan kepada pelbagai seni warisan budaya dan bangsa mereka akan lebih beradap dalam budaya, jatidiri dan mempunyai murni,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top