MDI bantu ibu tunggal, mangsa scam pulih bankrap

MDI bantu ibu tunggal, mangsa scam pulih bankrap

am@hmetro.com.my

Jasin : Golongan ibu tunggal, mangsa penipuan ‘scammer’ dan peminjam mikro bakal menikmati laluan ‘fast track’ yang diperkenalkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) sebagai usaha peluang kedua kepada golongan itu untuk bebas bankrap.

Ketua Pengarah MDI, Datuk Ishak Bakri berkata, tiga kriteria yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi selaras dengan Dasar Peluang Kedua kerajaan, yang menekankan pemulihan dan kebajikan individu berbanding hukuman.

Menurut beliau, mekanisme laluan cepat itu akan mempercepatkan proses mereka bebas muflis khususnya mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, pindaan Akta Insolvensi 2023 membolehkan Ketua Pengarah memberi pelepasan bankrap secara automatik tanpa melalui mahkamah, tertakluk kepada kriteria atau syarat tertentu.

“Peluncuran tiga kriteria itu akan diumumkan oleh menteri tidak lama lagi bagi membantu isu kebankrapan.

“Dengan langkah ini, proses pelepasan (bankrap) lebih cepat dan individu boleh pulih kewangan serta kembali menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Literasi Kewangan anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, selain itu menerusi Seksyen 33B (2A) kriteria yang dibebaskan daripada diisytiharkan muflis termasuk individu berusia lebih 70 tahun, kes bankrap berlarutan terlalu lama serta mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental yang disahkan panel doktor.

Katanya, Malaysia antara satu-satunya negara yang mengambil kira aspek kesihatan mental akibat kegagalan pengurusan kewangan.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, pendekatan Insolvensi hari ini lebih berbentuk kepada program turun padang mendekati pelajar, penjawat awam dan golongan berisiko supaya mereka faham kepentingan kawalan atau menguruskan kewangan dengan baik.

Katanya, pendekatan proaktif itu telah membolehkan lebih 200,000 individu dilepaskan daripada status bankrap tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top