'Terima kasih Seri Negeri, sampai kita bertemu lagi' – Akmal

'Terima kasih Seri Negeri, sampai kita bertemu lagi' – Akmal

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menamatkan tugasnya hari ini sebagai EXCO Melaka selepas mengumumkan peletakan jawatannya pada minggu lalu.

Menerusi perkongsian video di laman media sosialnya, Dr Mohamad Akmal dilihat mengemas pejabatnya di Seri Negeri selain mengucapkan penghargaan kepada kakitangan di situ.

Beliau turut dilihat meninggalkan pekarangan Seri Negeri sebelum bersalaman bersama kakitangan yang lain. Turut kelihatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidira Abu Zahar.

Dalam perkongsian itu, Dr Mohamad Akmal berkata, jawatan dan pangkat hanyalah sementara tetapi maruah serta prinsip kekal selamanya.

“Saya diangkat ke jawatan ini kerana rakyat. Maka wajib saya pertahankan suara mereka kerana kepentingan mereka dan tanggungjawab lebih penting dari kepentingan diri saya.

“Terima kasih Seri Negeri, sampai kita bertemu lagi,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Dr Mohamad Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu ini.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Akmal memberi bayangan sedia melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Kerajaan Melaka susulan kontroversi desakannya supaya parti itu mempertimbangkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top