MINDEF ambil serius, jadikan peringatan Agong satu pegangan

MINDEF ambil serius, jadikan peringatan Agong satu pegangan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai rasuah terutama dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipandang serius oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjunjung kasih titah berkenaan dan ia menjadi peringatan buat pasukan itu.

“Soal salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah itu adalah sesuatu yang kita percaya wajar dihindari, lebih-lebih lagi dalam ATM sebagai sebuah institusi yang sangat penting dalam melaksanakan tanggungjawab serta mendapatkan keyakinan rakyat jelata.

“Jadi peringatan Yang di-Pertuan Agong itu kita ambil serius dan kita akan pastikan ia jadi pegangan serta tidak berlaku lagi sebagaimana yang dilalui dalam tahun lepas dan juga tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau semasa memberikan ucapan amanat tahun baharu sebelum ini juga menekankan mengenai komitmen untuk memulihkan integriti dan membenteras penyelewengan, rasuah serta salah guna kuasa dalam MINDEF termasuk ATM.

Katanya, beberapa pendekatan akan digariskan untuk memastikan perkara itu dapat dihindari.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam titah ketika Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Parlimen menzahirkan perasaan kecewa terhadap kes rasuah dalam ATM sampai ke peringkat tertinggi.

Titah baginda amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dan rakyat perlu menjadi mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top