'Undang-undang 'grooming,' eksploitasi seksual kanak-kanak sedia ada memadai' – SUHAKAM

'Undang-undang 'grooming,' eksploitasi seksual kanak-kanak sedia ada memadai' – SUHAKAM

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerangka undang-undang sedia ada di Malaysia sudah mencukupi untuk menangani isu ‘grooming’ dan eksploitasi seksual kanak-kanak di media sosial tanpa memerlukan pindaan secara besar-besaran, sebaliknya keberkesanan pelaksanaannya perlu diperkasa.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Profesor Madya Dr Mohd Al Adib Samuri berkata, peruntukan undang-undang negara ketika ini sebenarnya sudah menyeluruh dan merangkumi pelbagai bentuk kesalahan berkaitan eksploitasi seksual golongan berkenaan.

Beliau berkata, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 merangkumi kesalahan berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), komunikasi seksual, pengantunan (grooming), amang seksual, persembahan seksual dan pemerasan seksual.

“Pada saya, peruntukan undang-undang sudah mencukupi untuk mendepani cabaran semasa. Kita juga mempunyai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang meletakkan tanggungjawab kepada platform untuk menjaga keselamatan kanak-kanak di Internet.

“Namun, kelemahan masih berlaku pada pelaksanaan undang-undang ini,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari SUHAKAM 2026 – EXPLORIGHTS @ UIAM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara persoalan yang perlu diberi perhatian ialah kelajuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan kandungan berbahaya, keberkesanan platform media sosial menghalang orang dewasa daripada memikat kanak-kanak serta keupayaan siasatan mengenal pasti pemangsa yang mengeksploitasi mereka.

Sehubungan itu, Mohd Al Adib berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memperluaskan siasatan kes CSAM kepada keseluruhan rangkaian pengedaran dan tidak hanya tertumpu kepada pemilik telefon atau akaun yang dikesan.

“Pihak berkuasa perlu mengenal pasti individu yang melakukan grooming, memperdaya, mengugut, membeli, mengedar dan memperoleh keuntungan daripada bahan berkenaan.

“Jika siasatan hanya berhenti pada kanak-kanak, kita mungkin menangkap orang yang paling mudah dikesan tetapi melepaskan pihak yang sebenarnya menggerakkan kegiatan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, PDRM, MCMC dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu menggunakan satu protokol yang sama supaya proses siasatan jenayah dan perlindungan kanak-kanak dapat dilaksanakan serentak.

Katanya, satu protokol khusus bagi kes CSAM yang membabitkan kanak-kanak juga wajar diwujudkan bagi memastikan penilaian terhadap keadaan kanak-kanak dibuat sebelum keputusan pendakwaan.

Beliau berkata, penilaian berkenaan perlu merangkumi kemungkinan sama ada kanak-kanak terbabit menjadi mangsa pengantunan (grooming), ugutan, paksaan atau eksploitasi.

“Jika kanak-kanak itu sebenarnya mangsa, laluan perlindungan dan pemulihan perlu diutamakan bagi memulihkan kanak-kanak berkenaan.

“Jika dia memang melakukan kesalahan, perintah mestilah sesuai dan memberikan manfaat kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya terhenti selepas telefon dirampas atau keterangan diambil kerana mereka mungkin berdepan kesan psikologi berpanjangan.

Katanya, temu bual perlu dilakukan pegawai terlatih di tempat yang sesuai, selain identiti kanak-kanak dilindungi dan kandungan media sosial yang mendedahkan identiti mereka diturunkan dengan segera.

“Kanak-kanak juga memerlukan penilaian keselamatan, kaunseling dan sokongan keluarga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 2.1 juta fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi ditemukan menerusi Op Pedo serta Operation Cyber Guardian sejak 2024.

Malah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata jumlah tangkapan dalam Op Pedo menunjukkan peningkatan ketara dalam tiga tahun.

Secara keseluruhan kedua-dua operasi itu menghasilkan 170 tangkapan dan 369 rampasan barang kes selain penemuan 2,123,887 fail CSAM serta pornografi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top