SEPANG – Pertunjukan ruang udara (fly-past) kendalian Gulf Air akan diadakan sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 4 Oktober ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Navigasi Udara), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Zainul Abidin Maslan berkata, pihaknya telah membuat persediaan dari aspek teknikal dan perkhidmatan bagi memastikan kelancaran operasi berkenaan tanpa menjejaskan trafik udara.
“Pertunjukan ‘fly-past’ rendah oleh Gulf Air akan dilakukan sejurus perlumbaan bermula.
“Operasi itu telah diselaraskan bersama pasukan kami, termasuk pusat kawalan dan menara kawalan trafik udara KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).
“Ia akan menyebabkan gangguan yang sangat minimum kepada trafik udara dan CAAM bersedia menampung operasi sedemikian pada hari perlumbaan,” katanya pada sesi soal jawab Program Literasi CAAM-Media, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi CAAM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.
Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan F1 di SIC selepas sembilan tahun menerusi GP Bahrain yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini.
SIC sebelum ini menjadi lokasi GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.
Dalam pada itu Zainul Abidin memaklumkan, jumlah trafik udara pada hari perlumbaan dijangka kekal seperti biasa, dengan hanya beberapa penerbangan tambahan bagi membawa logistik pasukan yang mengambil bahagian.
“CAAM bersedia menerima penerbangan tambahan yang membawa logistik pasukan F1 menjelang penganjuran perlumbaan berkenaan.
“Pada asasnya, kami berkemampuan dan bersedia menerima penerbangan menjelang perlumbaan F1 hujung minggu ini,” ujarnya.
Sementara itu, Soo Heong berkata, CAAM memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran perlumbaan berprestij itu.
Menurut beliau, ini kerana penganjuran tersebut membabitkan pergerakan pesawat yang banyak dengan melibatkan pelumba, jentera perlumbaan dan petugas sokongan.
“Penganjuran F1 di Malaysia pada hujung minggu ini amat penting kepada ekonomi negara.
“Bayangkan jumlah pesawat yang membawa pelumba, kereta lumba dan semua petugas sokongan. CAAM memainkan peranan besar dan kita perlu ingat perkara itu,” ujarnya.



