Leipzig: Walaupun meninggalkan Liverpool pada 2024 sebagai salah seorang jurulatih yang paling dihormati dalam dunia bola sepak, Jurgen Klopp mengakui dia tidak pernah menganggap dirinya berada dalam kelompok terbaik.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai jurulatih bertaraf dunia.
“Kerana saya masih mempunyai terlalu banyak persoalan ketika saya menamatkan tugas.
“Saya terfikir, ‘bagaimana saya boleh dianggap bertaraf dunia sedangkan saya masih mempunyai semua persoalan ini?” kata Klopp kepada AFP dan media lain dalam satu temu bual di Leipzig.
Selepas memulakan kerjaya kejurulatihan bersama Mainz, di mana beliau membawa kelab itu ke liga utama buat kali pertama, Klopp berpindah ke Borussia Dortmund dan memenangi dua gelaran Bundesliga serta mara ke final Liga Juara-Juara 2013.
Selepas menyertai Liverpool pada 2015, Klopp menyaksikan The Reds memenangi semua trofi yang ditawarkan, termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam peranan baharunya sebagai Ketua Bola Sepak Global Red Bull, yang menyelia struktur pelbagai kelab termasuk RB Leipzig, New York Red Bulls dan Paris FC, Klopp berkata, beliau mahu membantu jurulatih lain mencari jawapan kepada persoalan yang pernah dihadapinya.
“Peranan saya bersama barisan jurulatih adalah untuk menjadi individu yang saya sendiri tidak pernah lalui.
“Ramai orang memberi saya nasihat dan mempunyai idea yang hebat… mempunyai idea itu memang bagus, tetapi untuk membuat keputusan muktamad, ia sebenarnya tidak semudah itu.
“Saya mahu berada bersama mereka pada saat saya tahu mereka bersendirian, atau berasa bersendirian. Saya mahu berada di situ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




