mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua kumpulan rock legenda tanah air, Search (KidDin) dan Spider akan beraksi sempena Konsert Gegar Panggung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini, Sabtu ini.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini adalah sebahagian daripada program Semarak Seni @ Panggung, iaitu kalendar acara seni tahunan DBKL yang dilancarkan pada Disember lalu.
Jurucakap DBKL berkata, gabungan yang julung kali diadakan ini pasti disambut gembira oleh peminat rock tanah air yang sudah lama menantikan kemunculan mereka dalam satu pentas.
“Penampilan Search dan Spider dijangka menjadi tarikan utama memandangkan kedua-dua kumpulan legenda ini sentiasa mencatatkan sambutan luar biasa dan rekod jualan tiket habis terjual bagi setiap persembahan berbayar.
“Untuk kali ini, penonton tidak perlu mengeluarkan wang kerana tiada sebarang bayaran dikenakan.
“Peluang menyaksikan persembahan secara percuma di pentas terbuka ikonik ini adalah satu penghargaan istimewa DBKL buat semua,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Tom (Raja Farah) akan tampil sebagai pembuka pentas dengan iringan Kombo dan Artis Budaya DBKL, sebelum persembahan utama oleh Search dan Spider bermula.
Manakala Nadia Hasnan pula diberikan tanggungjawab sebagai hos untuk acara yang akan mengambil masa keseluruhan selama dua jam ini.
Penganjuran Gegar Panggung adalah inisiatif strategik DBKL bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya yang progresif, di samping menarik pelancong domestik dan antarabangsa melalui penganjuran acara seni berkualiti tinggi dan berterusan.
Panggung Anniversari, yang dibina pada awal 1960-an adalah antara pentas seni terbuka terawal di Kuala Lumpur dan mencipta sejarah sebagai lokasi konsert serta program hiburan utama sejak era 1970-an hingga 1990-an.
© New Straits Times Press (M) Bhd




