suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sindiket perjudian dalam talian dikesan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan dan berselindung di sebalik rumah sewa serta premis perniagaan kecil.
Bagaimanapun kegiatan itu tumpas apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 19 warga asing dalam Operasi Khas di sekitar Bukit Bintang, di sini, semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dilaksanakan serentak pada jam 10.30 malam membabitkan 25 pegawai pelbagai pangkat dari Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya di sekitar Bukit Bintang meliputi Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara.
Katanya, berdasarkan hasil risikan bersepadu selama sebulan, pasukan operasi diatur gerak ke llokasi sasaran yang dikenal pasti sebagai pusat operasi sindiket.
“Pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas 31 lelaki warganegara asing dan dua lelaki warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki warganegara Bangladesh, empat lelaki warganegara Myanmar dan tiga lelaki warganegara Indonesia berumur di antara 21 hingga 50 tahun telah ditahan.
“Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurut Zakaria, dua lelaki dan satu perempuan warganegara tempatan juga diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam operasi ini, katanya, pasukan telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan, melibatkan 59 tablet pelbagai jenama, tiga monitor, tiga dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan satu CCTV wifi.
“Sindiket perjudian dalam talian ini menyasarkan warganegara asing sebagai pelanggan utama, dengan modus operandi menawarkan pelaburan wang dalam jumlah kecil antara RM50 hingga RM500 bagi setiap individu, dengan janji pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
“Premis ini beroperasi setiap hari dan semakin aktif khususnya pada waktu malam hingga lewat pagi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket ini didapati mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warganegara asing yang dikenali sebagai ‘Captain’ ,selain membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk.
Menurutnya, kesemua premis perjudian ini berselindung di sebalik rumah sewa dan premis perniagaan kecil bagi mengaburi penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan dan memberi jaminan akan meneruskan tindakan tegas dan bersepadu terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria menasihatkan orang ramai tidak terlibat atau bersekongkol dengan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen dan digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pembanterasan jenayah secara menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd
