Kerajaan laksana kajian Indeks Ketegangan Masyarakat tahun ini

Kerajaan laksana kajian Indeks Ketegangan Masyarakat tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan merancang melaksanakan kajian Indeks Ketegangan Masyarakat pada tahun ini, kata Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan kajian Indeks Patriotisme Penjawat Awam.

“Hasil kajian ini akan dijadikan penanda aras bagi memastikan setiap dasar perpaduan yang digubal berasaskan data dan mampu memberi impak nyata terhadap kestabilan sosial serta kelestarian perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) sama ada kementerian bercadang membuat kajian sikap bagi mengetahui punca perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk negara ini semakin hambar, termasuk langkah mengatasi masalah itu.

Mengenai hubungan rentas kaum di negara ini, beliau berkata, Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) menunjukkan skor perpaduan dan keharmonian semakin baik saban tahun.

Katanya, IPNas adalah satu-satunya indeks pengukuran tahap perpaduan yang digunapakai oleh kerajaan bagi melihat kedudukan semasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus membolehkan usaha intervensi diperkenalkan.

“Skor IPNas pada 2018 ialah 0.567, manakala Skor IPNas pada 2022 ialah 0.629.

“Skala ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu tahap perpaduan lemah (0.0-0.24), tahap perpaduan rendah (0.25- 0.49), tahap perpaduan sederhana (0.50-0.74) dan tahap perpaduan tinggi (0.75-1.0).

“Skor IPNas 2022 pula menunjukkan bahawa situasi perpaduan negara berada pada tahap baik dan terkawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top