Pemegang kad UNHCR tetap dianggap PATI

Pemegang kad UNHCR tetap dianggap PATI

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini tetap dianggap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sisi undang-undang domestik.

Ini kerana Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, sekali gus menafikan sebarang kekebalan daripada tindakan penguatkuasaan.

Pengamal undang-undang, Dr Mahmud Jumaat berkata, memandangkan Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, negara ini tidak terikat secara undang-undang untuk memberikan hak pemastautin, hak pekerjaan mahupun kebebasan bergerak kepada pelarian dan pencari suaka.

“Pemilikan kad UNHCR tidak mewujudkan sebarang status imigresen yang sah di sisi undang-undang Malaysia.

“Kad itu hanyalah dokumen perlindungan mengikut mandat antarabangsa dan tidak diiktiraf sebagai dokumen imigresen yang sah.

“Secara teknikal, pemegang kad UNHCR masih tertakluk kepada peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya melanggar undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata, tiada perbezaan proses undang-undang antara pelarian Rohingya dengan PATI lain kerana tiada undang-undang domestik khusus yang mengecualikan pelarian berdaftar daripada tangkapan atau penahanan imigresen di bawah Akta 155.

Mengulas kenyataan bahawa tiada peruntukan khusus menghalang masyarakat Rohingya memiliki perniagaan tempatan, Mahmud berkata, isu itu lebih menjurus kepada aspek penguatkuasaan permit imigresen dan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap penyalahgunaan lesen.

“Masalah berbangkit apabila rakyat tempatan sendiri sebagai pemilik asal yang menjual atau menyerahkan lesen perniagaan kepada mereka.

“Warga asing hanya boleh dikenakan tindakan jika berniaga tanpa kebenaran atau melanggar syarat permit di bawah undang-undang imigresen,” katanya.

Beliau turut menegaskan permit bekerja adalah berbeza sama sekali daripada lesen perniagaan, justeru kebenaran untuk bekerja tidak boleh ditafsirkan sebagai kebenaran menjalankan perniagaan.

Mengenai pertikaian penempatan seperti insiden perobohan penempatan Rohingya di Hulu Langat, beliau berkata, kedudukan pemilik tanah berdaftar jauh lebih kukuh mengikut Kanun Tanah Negara 1965.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top