Ada risiko anasir subversif bertopengkan 'pelarian'

Ada risiko anasir subversif bertopengkan 'pelarian'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebanjiran pelarian di negara ini bakal mencetuskan ancaman keselamatan jika tiada pemprofilan pangkalan data dilaksanakan.

Pendekatan pemprofilan setiap pelarian ini penting bagi mengetahui latar belakang mereka termasuk kemungkinan wujud anasir subversif yang menyusup menerusi gelaran ‘pelarian’.

Pakar Keselamatan, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam menegaskan bahawa kaedah penjejakan atau pemprofilan ini sangat penting supaya polis dapat bertukar maklumat risikan dengan pihak ketiga.

Mohd Mizan berkata, ia merangkumi semua pelarian tidak mengira negara, namun data yang jelas menunjukkan pelarian dari Myanmar adalah paling ramai di negara ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat segelintir pelarian yang mempunyai keupayaan untuk mengendalian senjata api dan sebagainya.

“Berdasarkan perbualan dengan pihak kepimpinan Organisasi Solidariti Rohingya Arakan (ARSO) mendapati kumpulan itu mempunyai kemampuan untuk mendapatkan, memiliki dan mengendalikan senjata api.

“Mungkin mereka tidak ada peluang, itu sahaja pada ketika ini, tetapi jika keadaan, ruang serta peluang itu terbuka, ia akan memberikan satu kesan yang dahsyat kepada keselamatan negara,” katanya.

Katanya, kebanyakan pelarian Rohingya mempunyai pertalian dengan sekurang-kurangnya dua pergerakan penting iaitu ARSO dan Tentera Solidariti Rohingya Arakan (ARSA).

Menurutnya, ARSO yang ditubuhkan pada 1982 secara ringkasnya adalah golongan pemberontak bersenjata, manakala ARSA yang ditubuhkan pada 2013 pula dikenali melalui pelbagai serangan berbentuk gerila.

Justeru, Mohd Mizan berpandangan tindakan pencegahan serta langkah tegas wajar diambil segera berbanding menunggu sehingga masalah itu benar-benar tercetus.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa namun kemungkinan ancaman keselamatan itu tetap ada, kita tidak boleh nafikan perkara berkenaan.

“Apa yang penting sekarang adalah kerajaan menerusi agensi berkaitan melaksanakan pemprofilan secara menyeluruh supaya setiap tindakan yang dilaksanakan adalah berasaskan data serta tidak semberono.

“Perlu ada kawalan yang segera terhadap isu ini sebelum ia mungkin sukar untuk dikawal jika tiada langkah strategik yang diambil dalam masa terdekat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top