JAIS siasat akaun FB masjid didakwa berunsur politik, akan ambil tindakan tegas

JAIS siasat akaun FB masjid didakwa berunsur politik, akan ambil tindakan tegas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan ke atas pengendali akaun Facebook (FB) sebuah masjid di Rawang yang didakwa berunsur parti politik atau kepartian.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan berkenaan merujuk hantaran melalui FB dan hantaran di sebuah blog.

“Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS akan mengambil tindakan tegas terhadap kes dibangkitkan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari atau melanggar perintah atau arahan Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, MAIS juga akan mengambil tindakan sesuai selaras dengan Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017 sehingga boleh menyebabkan pemecatan jawatan sebagai pegawai atau ahli jawatankuasa.

“Pendirian MAIS dan JAIS dalam perkara ini dibuat berdasarkan titah Sultan Selangor yang mahukan masjid dan surau sentiasa mengambil sikap tidak terbabit atau cenderung atau mencetus apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam khususnya pengaruh politik kepartian.

“Baginda menitahkan agar MAIS dan JAIS tegas dalam perkara ini bagi memastikan masjid dan surau di Selangor terus kekal sebagai institusi yang mengambil sikap berkecuali.

“Selain menjadi zon aman dan tenang untuk beribadah dan beraktiviti, seterusnya menjadi pusat dan nadi kekuatan umat Islam.

“Saya menyeru umat Islam untuk terus membina kekuatan dengan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat persepakatan serta kesatuan umat Islam di peringkat kariah masing-masing,” katanya.

Katanya, umat Islam boleh berbeza memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati.

“Bukan berbeza yang menidakkan perkara pokok dan asas agama, mengetepikan ilmu, adab, dan sikap serta perbezaan yang menanam hati dan perasaan yang penuh hasad, dendam kesumat, kebencian dan ekstrem,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top