Aliff Aziz luah rindu anak menerusi lagu

Aliff Aziz luah rindu anak menerusi lagu

am@hmetro.com

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, 35, kembali mencuri perhatian netizen apabila memuat naik video nyanyian berjudul Takdir Buatku nyanyian asal Izzal Anuar.

Menerusi hantaran video yang dikongsi di media sosial, Aliff atau pemilik nama Mohammad Aliff Aziz dilihat seolah-olah meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap anaknya menerusi bait-bait lirik lagu berkenaan.

“Andai benar takdir ini yang tertulis buatku, sejujurnya sukar untukku berdamai dengannya,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Perkongsian yang berdurasi selama satu minit 16 saat itu turut mendapat komen daripada ibunya, Siti Hafizah Sheikh Mohamad yang menetap di Singapura.

“Semoga Allah pelihara jantung hati kami menjadi anak-anak soleh dan solehah. Walau jauh di mata tetapi tetap di dalam doa dan ingatan kami sekeluarga,” tulis ibu Aliff.

Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa pelantun lagu Kalau Cinta itu.

Namun, dalam masa yang sama, warga maya turut menasihati Aliff untuk terus berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kandung untuk bertemu dengan anaknya.

“Semoga segalanya berakhir dengan baik dan diredhai Allah,” tulis warga maya.

“Jumpalah anak-anak. Anak-anak pun mesti rindu dekat ayah kandung dia. Semoga Tuhan permudahkan urusan kalian semua,” tulis netizen.

Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Pasangan itu bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Kali pertama mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top