ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen, mengakui teruja dengan barisan kejurulatihan baharu yang sedang dalam proses dibentuk dan percaya susunan itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan pemain negara.
Jonassen berkata, walaupun banyak nama jurulatih berpengalaman dikaitkan dengan BAM ketika ini, proses pemilihan masih berjalan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Kami masih dalam proses. Belum semuanya dimuktamadkan, tetapi ia bergerak sangat positif,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Menurut Jonassen, pemilihan jurulatih dibuat secara bersama antara barisan kejurulatihan dan pengurusan BAM, dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pemain di setiap fasa pembangunan.
“Ia adalah usaha bersama. Kami berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan serta jurulatih yang sesuai dengan barisan yang kami mahu bina. Kerjasama sangat baik dan saya benar-benar teruja dengan jurulatih yang bakal menyertai kami,” katanya.
Jonassen turut menegaskan fokus utama pembentukan barisan baharu itu adalah untuk menyediakan laluan pembangunan yang jelas, bermula daripada pemain muda sehingga ke peringkat elit dunia.
“Saya sudah menyusun laluan pembangunan supaya setiap pemain dibimbing jurulatih berpengalaman dan berkualiti pada setiap fasa. Apabila nama-nama itu diumumkan nanti, ia akan menjadi satu barisan yang kuat,” katanya.
Beliau menambah, antara kriteria utama pemilihan jurulatih adalah pengalaman mengendalikan kumpulan pemain tertentu, latar belakang sebagai bekas pemain, serta pengalaman bekerja di luar negara.
“Saya senaraikan banyak perkara, jadi memang sukar untuk meneka nama-nama itu,” katanya sambil berseloroh.
Jonassen mengakui kehadiran barisan kejurulatihan baharu itu diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam usaha meningkatkan prestasi keseluruhan skuad kebangsaan, terutama dalam misi jangka panjang menuju kejohanan utama dunia dan Olimpik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




