Aminuddin mahu prestasi 'yoyo' NSFC ditamatkan

Aminuddin mahu prestasi 'yoyo' NSFC ditamatkan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: “Saya berharap prestasi yoyo ini dapat dihentikan kerana kita telah tambah peruntukan kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengambil beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua,” kata Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin menyuarakan rasa tidak puas hati susulan prestasi kurang memuaskan dipamerkan anak buah Nidzam Jamil terutama dalam dua perlawanan terkini iaitu menentang Selangor FC (SFC) dalam aksi Liga Super dan Imigresen FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia, baru-baru ini.

Ia selepas NSFC tewas 0-1 di tangan SFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan seri tanpa jaringan dengan Imigresen, pada aksi di Stadium Batu Kawan.

Beliau berharap skuad Hobin Jang Hobin dapat bangkit dengan prestasi lebih baik pada aksi timbal balik Piala Malaysia menentang Imigresen di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

“Kita bagi ruang pada satu dua perlawanan berikutnya. Saya berharap pemain, jurulatih dan pengurusan NSFC dapat lebih fokus untuk perlawanan Piala Malaysia, Ahad ini dengan meraih keputusan positif,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Tegas Aminuddin, beliau tidak mahu melihat pemain NSFC hanya menunjukkan kesungguhan ketika beraksi di laman sendiri, tetapi kurang baik ketika bertandang ke tempat lawan.

“Selain terima banyak komen daripada peminat, kita melihat sendiri persembahan NSFC kebelakangan ini terutama ketika beraksi di tempat lawan.

“Saya berharap pihak pengurusan dapat melihat semula perkara ini kerana kita hanya memberikan kebenaran dan hak kepada mereka untuk menguruskan pasukan, kita tak campur sangat apabila mereka mahu (bawa masuk pemain baharu).

“Kita nak pulangan yang lebih baik kepada negeri, tetapi kini terdapat tekanan kuat daripada penyokong apabila mereka meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top