Affan Rostam
Kuala Lumpur: Pihak pengurusan premis acara, Idea Live Arena, menafikan dakwaan dibuat penganjur konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia, iaitu Impian Al Fateh Sdn Bhd bersama GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events).
Menerusi satu kenyataan media, Idea Live Arena memaklumkan pihaknya mengambil maklum kenyataan serta sidang media yang diadakan penganjur terbabit, namun menegaskan semua dakwaan yang dikemukakan adalah tidak berasas dan mempunyai motif sebaliknya.
“Sila ambil maklum bahawa kami dengan tegas menafikan dan menolak kesemua dakwaan tersebut kerana ia tidak benar, mengelirukan, berniat jahat serta tidak mempunyai sebarang asas fakta atau undang-undang.
“Kenyataan berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan jelas bertujuan mengelirukan orang awam selain mencemarkan reputasi kami,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Idea Live Arena memaklumkan pihaknya kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.
“Kami secara nyata mengekalkan semua hak kami sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti, dan tiada apa-apa dalam kenyataan ini boleh ditafsirkan sebagai pelepasan, pengabaian atau penepian terhadap mana-mana hak tersebut.
“Kami akan membuat pengumuman lanjut sekiranya perlu dan akan mengambil tindakan sebagaimana dinasihatkan,” katanya.
Terdahulu, penganjur konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan premis acara di Petaling Jaya susulan insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba ketika konsert berlangsung pada 10 Januari lalu.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, dilaporkan berkata kejadian itu berlaku ketika kumpulan Wali Band sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah di Balik Batu, sekali gus menjejaskan reputasi penganjur dan barisan artis, selain menimbulkan ketegangan dalam kalangan penonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




