am@hmetro.com.my
Melaka: Polis Kontinjen Melaka menerima dua ketua jabatan baharu apabila Asisten Komisioner Sugemin Zainol dan Asisten Komisioner Zaihairul Idrus masing-masing memulakan tugas sebagai Ketua Cawangan Khas dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, bermula kelmarin.
Pelantikan kedua-dua pegawai kanan polis berpengalaman hampir 30 tahun itu dijangka memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam memelihara keamanan serta keselamatan negeri dan negara.
Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan disaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Majlis dimulakan dengan penyerahan tugas Ketua Cawangan Khas antara Noor Imran dengan Sugemin, diikuti penyerahan jawatan Ketua JSJ Melaka antara Superintendan Arshad Abu (pemangku) dengan Zaihairul.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ahmad Jefferi Abdullah, ketua jabatan serta pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka.
Menurut kenyataan IPK Melaka, Sugemin, 50, anak jati Kedah, mengambil alih tugas daripada Noor Imran yang dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan bertukar ke Kontinjen Johor sebagai Ketua Cawangan Khas.
Dalam ucapannya, Dzulkhairi mengalu-alukan kehadiran kedua-dua pegawai kanan itu dan yakin pelantikan mereka mampu memberi impak positif selain memperkukuh tadbir urus serta keberkesanan perkhidmatan PDRM di Melaka.
Katanya, Sugemin menyertai PDRM pada 1998 selepas menjalani latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur serta berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City Universiti Malaysia.
“Zaihairul, 52, pula berasal dari Perlis dan memiliki Sarjana Sains Forensik (Kriminologi) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau memasuki PDRM pada 2000 sebagai kadet ASP di Pulapol Kuala Lumpur.
“Sepanjang 25 tahun dalam pasukan, beliau pernah menjawat jawatan penting seperti Superintendan D7 (Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian) di JSJ Bukit Aman serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah di IPD Putrajaya dan IPD Sepang,” katanya.
Dzulkhairi turut mengharapkan kerjasama penuh warga kontinjen Melaka kepada dua ketua jabatan baharu itu dalam membawa PDRM ke tahap lebih cemerlang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




