'Saya dah beri maklumat kepada Wisma Putra'

'Saya dah beri maklumat kepada Wisma Putra'

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Iesya Toh mendakwa sudah memberi kerjasama kepada Wisma Putra berhubung maklumat ‘Dr Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel seperti dikongsi di Instagram (IG) miliknya, baru-baru ini.

Iesya atau nama sebenar, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 37, mengaku bertanggungjawab sepenuhnya atas perkongsian itu selepas mendapati maklumat yang disalurkan, sahih.

“Beberapa minggu lalu, saya dihubungi seorang doktor yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyatakan rakan setugas yang menjalankan misi bantuan di Palestin, ditahan pihak Israel.

“Selepas membuat siasatan dan mendapati maklumat yang disampaikan benar, saya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung perkara itu.

“Saya juga menyertakan nombor telefon pihak terbabit yang boleh dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden berkenaan kepada Hishammuddin,” katanya kepada BH Online.

Iesya mengulas laporan mengenai Wisma Putra yang mahu dirinya, Heliza Helmi dan individu lain memberi maklumat mengenai ‘Dr Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel.

Iesya yang juga bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) berkata, sebagai selebriti, media sosial adalah saluran terbaik untuk membawa suara dan masalah yang dihadapi rakyat kepada kerajaan.

“Saya ambil serius apa sahaja perkongsian yang dimuat naik dalam media sosial.

“Saya bukan sekadar membuat entri semata-mata tetapi mencari jalan penyelesaian dengan membawa perkara yang dibangkitkan rakyat kepada pihak bertanggungjawab.

“Kebetulan pengalaman sebagai pengacara program bual bicara memberi saya peluang untuk kenal rapat dengan ramai orang termasuk kenamaan.

“Ini secara tidak langsung memudahkan lagi tugas saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top