AS 'keluar' WHO mungkin keputusan presiden paling merosakkan dalam sejarah

AS 'keluar' WHO mungkin keputusan presiden paling merosakkan dalam sejarah

Washington: Pakar undang-undang kesihatan global di Universiti Georgetown di sini, Dr Lawrence Gostin menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara keputusan presiden yang paling merosakkan dalam sejarah, lapor CNN.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa keanggotaan WHO, AS tidak lagi mempunyai akses pantas kepada data epidemiologi, sampel virus dan penjujukan genomik untuk menghasilkan vaksin.

Kesan penarikan ini dijangka melemahkan keupayaan AS untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam menghadapi ancaman kesihatan serius.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dasar Penyakit Berjangkit di Universiti Minnesota, Dr Michael Osterholm pula meramalkan dunia bakal menghadapi wabak yang lebih maut pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan bahawa pakar daripada komuniti kesihatan awam AS kini tidak lagi berada di meja rundingan untuk mengetuai tindak balas global terhadap krisis kesihatan.

Tindakan menarik diri AS daripada WHO turut dianggap sebagai pengabaian terhadap komitmen kesihatan global yang berpotensi mendedahkan rakyat kepada penyakit rentas sempadan.

Menurut CNN, walaupun AS masih berhutang kira-kira AS$260 juta (kira-kira RM1.1 bilion) kepada WHO, pakar undang-undang berpendapat negara itu tidak mungkin akan membayarnya.

Seorang pegawai kanan pentadbiran menyatakan bahawa AS tidak mendapat pulangan yang setimpal dengan nilai wang dan tenaga pakar yang diberikan sepanjang pembabitan mereka.

Walaupun AS pemberi dana terbesar kepada organisasi itu, pegawai itu menyatakan bahawa tidak pernah ada ketua pengarah WHO dari negara berkenaan, lapor agensi berita sama.

Dalam pada itu, TIME melaporkan Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Ghebreysus sebelum ini dilaporkan berkata, beliau terbuka untuk menerima kembali AS sebagai ahli dan berharap negara itu akan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

“WHO memberi isyarat – dengan sengaja, saya fikir – bahawa mereka mahu terus bekerjasama dengan AS,” kata Dr Judd Walson, pengerusi kesihatan antarabangsa di Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg.

“Bendera Amerika Syarikat terus berkibar di luar bangunan WHO [di Geneva], dan itu bukan satu kesilapan. Ia adalah isyarat yang sangat disengajakan bahawa mereka mengalu-alukan kami untuk terbabit semula.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top