saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek endurance negara, Amir Mustafa Rusli meletakkan sasaran buat anak buahnya untuk layak ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menerusi kategori A, dengan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Filipina, Mac depan menjadi medan penentu utama.
Amir berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi semasa pelumba negara, khususnya hasil positif yang ditampilkan pada Sukan Sea Thailand serta Piala Presiden, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk merangka perancangan lebih terperinci bagi musim 2026.
“Kalau kita tengok daripada segi prestasi, dan juga proses sebelum ini memang positif. Jadi bila ada pencapaian di Sukan Sea dan juga pencapaian dekat Piala Presiden, barulah kami boleh buat perancangan untuk tahun ini.
“Jadi untuk tahun ini, pasukan endurance akan beraksi di kejohanan ACC dekat Filipina pada Mac nanti.
“Daripada situ (ACC) kita akan nilai sama ada pelumba kita ke arah Sukan Asia ataupun Sukan Komanwel (Glasgow, Scotland) sebab syarat yang diletakkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah kedudukan empat terbaik di kejohanan Asia untuk kita dapatkan kategori A.
“Kejohanan ACC adalah untuk mencari tiket kelayakan ke Sukan Asia, manakala untuk Piala Dunia dan Sukan Komanwel adalah bagi mencari kelayakan ke Olimpik,” katanya.
Mengikut ketetapan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hanya pelumba yang menamatkan saingan dalam empat terbaik ACC akan diberikan status kategori A, sekali gus membuka laluan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Jelas Amir, untuk kejohanan ACC nanti, pelumba negara yang akan menggalas cabaran adalah Aisyah Zubir, Yeong Zhen Yi, Lau New Joe, Yusri Shaari dan Hafiq Mohd Jafri.
Barisan pelumba negara akan mengambil bahagian dalam acara omnium, scratch, elimination dan perlumbaan mata.
Pada temasya Sukan Sea lalu, Aisyah antara yang cemerlang apabila menghadiahkan pingat emas menerusi acara scratch.
© New Straits Times Press (M) Bhd




