razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Harian Metro sekali lagi mengekalkan jenama terunggul bagi kategori rangkaian media apabila merangkul Perak pada Anugerah Putra Brand 2025.
Ia pengiktirafan keempat berturut-turut dimenangi akhbar bahasa Melayu nombor satu negara terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) itu bagi kategori sama.
Selain Harian Metro, Hot FM turut menjadi satu lagi jenama daripada kumpulan media bersepadu terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (Media Prima) yang meraih Gangsa.
Anugerah itu masing-masing diterima Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarah Rangkaian Kumpulan Media Prima Audio, Shah Hayatudin.
Muhamad Safar ketika ditemui berkata, anugerah terbabit membuktikan Harian Metro diiktiraf seluruh rakyat Malaysia dan sudah pasti akan menyuntik semangat warga kerja untuk mengukuhkan lagi kedudukan akhbar.
Katanya, kejayaan keempat berturut-turut itu lebih manis apabila diterima pada tahun sambutan ulang tahun ke-35 Harian Metro, 25 Mac ini
“Kejayaan hari ini adalah bukti dedikasi dan komitmen Harian Metro dalam melaporkan berita-berita berkualiti kepada pembaca dalam persekitaran media yang serba mencabar ketika ini.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pembaca kerana memilih Harian Metro sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata, anugerah turut ditujukan khas buat semua warga kerja Harian Metro yang berdedikasi dalam mencari bahan berinformasi, tepat dan memenuhi selera pembaca.
“Kita juga berterima kasih kepada pengurusan Media Prima yang sentiasa menyokong Harian Metro,” katanya.
Sementara, Shah Hayatudin berkata, anugerah diterima adalah satu pengiktirafan buat warga kerja Hot FM.
“Ini merupakan suatu pencapaian yang membanggakan dan membakar semangat kami untuk melakukan yang lebih terbaik.
“Pada tahun ini juga kita sudah merangka banyak perancangan menarik… nantikan,” katanya.
Putra Brand Award adalah anugerah jenama paling berprestij di Malaysia dan satu-satunya anugerah yang diwujudkan sebagai mengiktiraf pengurus serta pemilik sesuatu jenama.
Dilancarkan pada tahun 2010 oleh Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama Malaysia’s Most Valuable Brands (MMVB), Putra Brand Award bertujuan menghargai pembinaan jenama sebagai satu pelaburan perniagaan yang penting yang diukur berdasarkan keutamaan pengguna.
Putra Brand Award juga adalah satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang mendapat pengiktirafan MATRADE serta sokongan daripada Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Media Specialists Association (MSA) dan Malaysian Digital Association (MDA).
© New Straits Times Press (M) Bhd


