mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang muda ONE Championship negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, bakal berdepan cabaran baharu apabila dijadualkan menentang petarung Myanmar, Ye Yint Naung, di pentas ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada 6 Februari ini.
Perlawanan Muay Thai kelas flyweight itu diatur selepas lawan asalnya, Sean Climaco, terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki.
Johan atau dikenali sebagai Jojo, sebelum ini sepatutnya beraksi pada ONE Fight Night 39, hari ini, namun pertarungan berdepan Climaco akhirnya diumumkan batal.
Dalam penampilan terakhirnya pada ONE Fight Night 35, September lalu, Johan meraih kemenangan TKO pusingan pertama ke atas petarung Maghribi, Zakaria El Jamari, kemenangan yang mengembalikan keyakinan dia selepas dua kekalahan berturut-turut sejak menandatangani kontrak rasmi bernilai kira-kira RM400,000.
Dengan momentum positif di tangannya, Johan dijangka mampu meneruskan rentak kemenangan ke atas Yint Naung, yang bakal membuat penampilan sulung di pentas ONE Championship.
Petarung muda ini mewakili Rentap Muay Thai Gym dan kini mengumpul tujuh kemenangan daripada 10 pertarungan di pentas ONE Championship, menunjukkan dia antara bakat muda paling menyerlah negara.
“Setiap pertarungan adalah peluang untuk saya buktikan kemampuan. Lawan baharu ini pasti mencabar, tetapi saya sudah bersedia dan fokus untuk teruskan rentak kemenangan,” kata Johan.
Menerusi latihan intensif dan persiapan rapi, Johan berkata, dia sudah bersedia menghadapi aksi di Stadium Lumpinee, lokasi ikonik bagi pencinta Muay Thai, sambil mengekalkan fokus terhadap kemenangan berturut-turut di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




