Bangkok: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh teman wanitanya yang ditemukan dengan kecederaan teruk di bahagian mulut dengan lidahnya dipotong di sebuah resort di daerah Mueang, Thailand.
Memetik The Thaiger, penahanan itu dibuat susulan laporan bahawa suspek menyerah diri kepada pihak berkuasa lewat malam 23 Januari 2026 lalu.
Penolong Penguasa Polis, Leftenan Kolonel Ekachai Pholkaset berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 9 malam mengenai seorang lelaki yang mengaku terlibat dalam pembunuhan.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Bunyarit, ditahan di kediamannya berhampiran Pasar Tha Phae sebelum polis menjalankan siasatan lanjut.
Polis kemudian memasuki sebuah bilik resort di daerah Pak Phun yang dipercayai menjadi lokasi kejadian.
Difahamkan, polis menemui mayat seorang wanita berusia 49 tahun, dikenali sebagai Noppawan, terbaring di atas katil.
Menurut polis, mangsa didapati mengalami kecederaan selari dengan kesan cekik selain kecederaan teruk di bahagian mulut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, kakitangan resort berkata, suspek dan mangsa tiba bersama di resort itu kira-kira jam 6.52 petang pada 23 Januari 2026.
“Suspek menempah bilik untuk satu malam dan membuat bayaran secara elektronik.
“Kira kira jam 8 malam, kami melihat kenderaan meninggalkan resort dan menyangka pasangan itu keluar sementara waktu,” kata kakitangan itu.
Dalam pada itu, polis mengesahkan, suspek meninggalkan resort selepas kejadian sebelum pulang seketika ke rumah dan menghubungi seorang kenalan untuk mengatur penyerahan diri.
Polis juga turut merampas bahan bukti termasuk sebilah pisau dan kain sarung tradisional Thailand dari lokasi kejadian serta kenderaan suspek.
“Semasa menyoal siasat, suspek mengaku membunuh teman wanitanya yang difahamkan menjalin hubungan dengannya yang terjalin sudah lima bulan,” kata polis.
Warannya tangkap terhadap suspek dikeluarkan Mahkamah Wilayah Nakhon Si Thammarat pada 24 Januari 2026 atas pertuduhan membunuh dengan niat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



