norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Pablo Amirul, 41, mengakui dia sudah bersedia menjadi ‘house husband’ atau suri rumah lelaki selepas perkahwinan dengan bakal isteri, Dr Hana Rose pada 2 Februari ini untuk memberi fokus kepada keluarga.
Pablo atau nama sebenar Amirul Hisyam Mohd Sakri berkata, Dr Hana serta rakan-rakan rapatnya juga sudah mengetahui mengenai perkara itu kerana bekerja dalam industri seni semestinya bergantung pada tawaran diterima.
“Saya tak nafikan kerjaya dalam industri ini untuk saya bukan keluar berlakon drama tiap-tiap bulan. Walaupun saya yang aktif bekerja ini, tetap kena menunggu tawaran berlakon yang datang juga.
“Tawaran berlakon filem pula (diterima) setiap tiga bulan atau empat bulan, okaylah tu. Jadi, kiranya bila masa saya bekerja, saya kerja la. Tapi, bila tidak bekerja maka itu adalah masa untuk saya fokuskan kepada keluarga.
“Jadi, itulah yang saya mahukan selepas berkahwin. Saya pun bukannya muda lagi dan saya juga melihat zaman sudah berubah. Malah, sekarang pun boleh dilihat berkaitan pekerjaan ini sudah sama rata. Lelaki dan wanita sama-sama bekerja.
“Alhamdulillah, kami berdua masing-masing sudah matang dan saling menyokong dalam karier. Dalam soal ini (perkahwinan) sebenarnya, pasangan perlu ada ‘give and take’ yang menjadi satu titik umpama, ‘what you want to do’ dan ‘I want to do’.
“Oleh itu, saya memang tiada masalah untuk pilih ingin menjadi ‘house husband ‘ dalam perkahwinan. Saya okay sahaja sebab pada zaman sekarang pun dah boleh bekerja dari rumah. Saya boleh hasilkan skrip, buat ‘content’ dan apa sahaja kerja,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai persiapan perkahwinan, Pablo berkata bakal isteri, Dr Hana yang banyak melakukannya berikutan dia ketika ini begitu sibuk di set penggambaran filem Keranda Tasik Terbang yang dibintanginya.
“Sekarang ini, persiapan untuk majlis perkahwinan kami pada 2 Februari ini sudah siap kira-kira 80 peratus dan Dr Hana yang banyak melakukannya kerana saya sekarang sibuk ‘shooting’ filem dari siang ke pagi esoknya.
“Syukur juga, bakal isteri saya (Dr Hana) sangat memahami kerjaya saya dalam industri. Cuma, apa yang dibimbangkannya adalah cinta lokasi. Itu yang selalu diingatkan oleh Dr Hana kepada saya agar tidak terjebak dengan cinta lokasi,” jelasnya lagi.
Mengulas juga destinasi bulan madu, Pablo berkata buat masa ini dia dan Dr Hana belum merancang apa-apa kerana jadual kerjanya yang masih sibuk di set penggambaran dan selepas perkahwinan pun akan terus bekerja.
Terdahulu, Pablo menerusi hantaran foto dimuatnaik di Instagram (IG) pernah mendedahkan mengenai hubungan istimewanya dengan Dr Hana yang juga seorang pakar estetik mendapat restu daripada keluarga dan kenalan.
Menerusi khabar gembira dikongsikan itu didapati turut meraih maklum balas positif daripada orang ramai yang juga teruja menantikan hari bahagia pasangan ini, termasuk mendoakan yang baik-baik buat Pablo dan Dr Hana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




