Altimet turun padang bantu kempen calon PH DUN Endau

Altimet turun padang bantu kempen calon PH DUN Endau

Mersing: Kehadiran penyanyi Altimet dalam kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau Saiful Nizam Samat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dilihat antara faktor penarik dalam usaha meraih sokongan pengundi terhadap parti itu di DUN berkenaan.

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menyifatkan kehadiran beliau sebagai manifestasi semangat setiakawan atas sokongan padu yang pernah diterima jentera Selangor dari negeri lain, sebelum ini.

“​ … atas semangat kebersamaan, kita hadir untuk memberikan sokongan penuh kepada jentera di sini, kini giliran kita pula untuk menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan parti,” katanya kepada Bernama di Pantai Penyabong, di sini hari ini.

Mengulas peranan penggiat seni dalam politik dan masyarakat, beliau berkata golongan tersebut memikul tanggungjawab besar sebagai medium penyampai aspirasi rakyat.

​”Seni itu sendiri mencerminkan masyarakat dan karya pun ada pelbagai jenis seperti lagu, filem, dan novel, (oleh itu) penggiat seni sebenarnya menjadi wakil kepada rakyat apabila dia menghasilkan sesuatu yang dirasai oleh mereka,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa isu-isu bread and butter atau sumber pendapatan utama berkaitan dengan ekonomi dan kelangsungan hidup menjadi faktor paling dekat di hati masyarakat dalam menentukan keyakinan mereka terhadap seseorang calon.

​Dalam pada itu, Altimet turut menyeru generasi muda agar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan wakil yang membawa suara mereka ke peringkat DUN.

​Sementara itu, calon PH DUN Endau itu menyifatkan populariti serta pengalaman luas Altimet sebagai seorang artis dan juga wakil rakyat amat membantu dalam meluaskan jangkauan kempen.

​”Pengalaman sebagai ADUN dan populariti beliau banyak membantu saya untuk menyantuni pengundi, terutama golongan belia. Secara tidak langsung, (kerjasama ini) menunjukkan satu ukhuwah yang baik dalam PH sendiri,” kata Saiful Nizam yang optimis gerak gempur jentera kali ini mampu meraih sokongan pengundi di DUN tersebut.

N32: ENDAU: JOHOR: 28,767

1. Hasnul Hakimi Hussien (PN-PAS)

2. Jati Awang (ASLI)

3. Saiful Nizam Samat (PH-PKR)

4. Alwiyah Talib (BN-UMNO)

(2022: Alwiyah Talib: PN-Bersatu: Maj. 3,041)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top