Che Ani pejuang nasib pesawah meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pengerusi Badan Bertindak Petani, Che Ani Mat Zain, 71, yang berjuang membela nasib pesawah di Kedah dan Perlis sejak lebih 20 tahun lalu meninggal dunia akibat angin ahmar, semalam.

Allahyarham yang juga Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) menghembuskan nafas terakhir pada 9.39 malam ketika menerima rawatan di Hospital Alor Setar, di sini.

Allahyarham sebelum ini aktif menyuarakan isu membabitkan kebajikan serta kepentingan petani, termasuk turut bersama pesawah pada sidang media berkaitan isu kelewatan pembekalan baja pada 13 Ogos lalu.

Beliau juga antara pihak terawal mendedahkan kewujudan kartel dalam sistem rantaian industri padi sehingga rombakan besar-besaran dilakukan dalam proses agihan subsidi kepada pesawah.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, beliau dimaklumkan keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot selepas kali terakhir menyertai himpunan bagi memperjuangkan nasib pesawah.

Menurutnya, Allahyarham tetap hadir dalam himpunan aman dan turut bersama bertemu wartawan walaupun ketika itu sudah mempunyai masalah kesihatan.

“Selepas himpunan berkenaan, saya dimaklumkan keadaan kesihatan arwah semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jenazah Che Ani selamat dikebumikan kira-kira 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Lubuk Ayer, Ayer Hitam, Kubang Pasu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top